Kuala Lumpur, 27 Julai 2022 – Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menerima aduan wakil penduduk Felda Klau, Raub yang mendakwa hak mereka diambil oleh pihak Kerajaan bagi tujuan pembangunan empangan Air Syabas Pahang-Selangor pada tahun 2008.
Bagaimanapun, sehingga kini penduduk masih belum menerima sebarang pampasan dan kerugian dianggarkan sekitar RM500 juta melibatkan tanah seluas 1500 ekar.
Setelah 14 tahun berlalu, namun tiada jalan penyelesaian bagi kes yang melibatkan 400 buah keluarga penduduk.
Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan@Toqqi berkata pihaknya berasa hairan bagaimana dalam zaman teknologi serba canggih kini sehinggakan kuman yang tidak dapat dilihat mampu manusia tawan, mengapa kejadian penganiayaan secara terbuka terhadap penduduk kampung tidak mendapat perhatian pihak berwajib?
“Apakah kerana mereka orang kampung dan tidak mendatangkan keuntungan kepada pihak berwajib hinggakan mereka dibiarkan terus dibelenggu masalah ini selama 14 tahun,” katanya dalam satu sidang media di sini hari ini.
Menurut Nadzim, PPIM mahu pihak yang bertanggungjawab untuk tampil menyelesaikan masalah penduduk.
“Sudah sekian lama, tiga kali pilihanraya sudah berlalu tapi masalah mereka masih tidak selesai, mana janji-janji ketika pilihanraya dahulu, bila mahu diselesaikan masalah ini,” katanya.
Sementara itu, wakil penduduk kampung berkata pihaknya sudah beberapa kali membawa perkara ini kepada Kerajaan dan Felda namun masih tiada jawapan.
“Alasan yang diberikan kepada kami masih sama, bayaran sudah dibuat. Namun mereka tidak membayar mengikut perjanjian yang dipersetujui,” katanya.
Menurut wakil penduduk tersebut, mengikut persetujuan asal, mereka berjanji membuat bayaran sebanyak RM3.45 sekaki pada tahun itu.
“Sesetengah penduduk menerima bayaran RM1.05 sekaki dan ada hanya menerima RM0.99 sekaki,” katanya.
Tambah beliau lagi ada diantara penduduk tidak menerima bayaran langsung.
Penduduk menggesa pihak berwajib tampil menjelaskan status pampasan yang telah dijanjikan kepada mereka dan mahu satu tarikh yang jelas sebagai tarikh pembayaran pampasan tersebut.
Kesusahan yang dialami oleh penduduk bertambah teruk kerana mereka tidak dapat menuai hasil tanaman mereka sebelum kerajaan selesai buat bayaran.
“Sakit hati kami kerana dalam kesusahan kami, ada kontraktor luar yang mengambil kesempatan untuk mendapatkan hasil sawit kami,” katanya.
Dakwa beliau lagi, jika penduduk masuk ambil buah sawit mereka, polis akan tangkap. Terdapat juga kes penduduk yang telah meninggal dunia dan urusan pewarisan diurus oleh pihak Felda.