Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
TAYANGAN MAT KILAU TEPAT MASANYA KETIKA MASYARAKAT BERPECAH – PPIM – MALAYSIA GAZETTE – 08/07/2022
09 Jul 2022

KUALA LUMPUR – Tayangan filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan tepat pada masanya ketika masyarakat di Malaysia dilihat semakin berpecah.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata, sudah tiba masanya rakyat Malaysia untuk bangkit bersama seperti mesej yang disampaikan dalam Mat Kilau.

Katanya, rakyat harus bersuara menentang segala jenis percubaan yang mahu mencetuskan perpecahan dalam kalangan rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.

“Tayangan filem Mat Kilau adalah tepat pada masanya. Sama ada dirancang atau tidak, kita harus akui tarikan aura dari filem hasil sentuhan pengarah muda Shamsul Yusof berjaya menarik perhatian jutaan rakyat Malaysia untuk menonton dan mendalami jalan cerita yang menarik,” katanya.

Tambah beliau, sungguhpun filem Mat Kilau bukan sebuah dokumentari sejarah namun kisah yang dihidangkan untuk penonton cukup membangkitkan semangat cintakan negara, bangsa dan agama.

Justeru, seluruh rakyat Malaysia tidak kira kaum atau agama boleh memgambil iktibar daripada cerita yang diketengahkan di dalam filem tersebut.

Nadzim mengingatkan semua masyarakat agar membuang sifat dendam dan dengki sesama sendiri kerana sifat itu hanya akan merugikan kita semua.

“Selain itu, dari filem Mat Kilau kita boleh lihat bagaimana seorang ketua membuat keputusan dengan memikirkan kesan terhadap semua orang dan bukan dirinya sendiri, sifat terpuji ini harus ada dalam semua pemimpin tidak kira diperingkat negara atau pemimpin keluarga.

“Buanglah ego dan sifat pentingkan diri dalam usaha kita mencapai kejayaan, bertindak dengan bijak dan gunakan akal fikiran tanpa menyusahkan orang lain,” katanya.

Beliau berkata demikan selepas menyaksikan filem tersebut baru-baru ini.

PPIM turut membawa lebih 100 orang untuk menyaksikan filem berkenaan yang telah mengutip lebih RM50 juta.

Nadzim juga memuji kreativiti pengarah muda Syamsul, 38 kerana mampu menghasilkan karya berkualiti yang boleh ditonton oleh seluruh lapisan masyarakat.

“Kita perlu lebih ramai anak muda seperti Syamsul untuk sama-sama menaikkan industri perfileman yang menjadi antara aset dan platform menaikkan semangat patriotik, cintakan negara dan bangsa,” katanya.

Kerajaan juga harus menggalakkan pembikinan filem yang dapat membina semangat dan kesedaran yang mampu membuka minda ke arah perpaduan dan patriostisme.

Akhir ini menurut Nadzim, masyarakat tidak lagi berminat membaca buku sejarah atau kitab lama.

Melalui penghasilan karya kreatif seperti Mat Kilau, penggiat seni tanah air mampu berkongsi pengajaran dari kejadian sejarah untuk tatapan penonton sesuai dengan perubahan zaman.-MalaysiaGazette

Artikel oleh: Malaysia Gazette

TAYANGAN MAT KILAU TEPAT MASANYA KETIKA MASYARAKAT BERPECAH

https://malaysiagazette.com/2022/07/08/tayangan-mat-kilau-tepat-masanya-ketika-masyarakat-berpecah-ppim/