CYBERJAYA: Inisiatif Malakat Ekosistem membangunkan teknologi Halal Blockchain Network (HBN) adalah untuk menjejak info dan data rantaian bekalan makanan halal.
Ia bagi memastikan bekalan makanan halal yang diterima oleh pengguna adalah suci dan terjamin.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi berkata teknologi pertama seumpama dapat melenyapkan kebimbangan umat Islam di Malaysia mengenai sumber-sumber makanan harian seperti daging import sama ada ia benar-benar halal atau tidak.
“Saya mengucapkan tahniah kepada Malakat Ekosistem yang telah berjaya membangunkan satu sistem yang saya yakin sangat berguna di samping sistem yang sedia ada telah digunakan oleh pihak kementerian.
“Ia (HBN) dapat membantu untuk memastikan bahawa bekalan makanan yang sampai kepada kita (pengguna) lebih terjamin dan diyakini apabila pengeluarannya dapat dijejak sehingga kepada pusat penyembelihan dan sebagainya.
“Jadi, dengan ini dapat menghilangkan keraguan rakyat dalam membeli atau menggunakan daging import,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Halal Blockchain Network (HBN), di Malakat Mall, di sini hari ini.
Che Abdullah berkata kementeriannya sentiasa memberi kerjasama kepada mana-mana pihak yang ingin membantu untuk memastikan perkara yang boleh membawa kebaikan kepada rakyat keseluruhannya.
Katanya lagi, sistem ini juga lebih mudah untuk digunakan yang mana pengguna hanya perlu mengimbas kod QR yang terdapat pada bungkusan makanan menggunakan QR Scanner di telefon bimbit untuk mengetahui maklumat makanan yang ingin dibeli dari sudut pengeluarannya, tempat penyembelihan termasuk pengesahan dari JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia).
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malakat, Mohd Fadzil Hashim, HBN dibangunkan untuk menyelesaikan konflik daging tidak sah halal yang membelenggu pengguna Islam di negara ini.
Sistem ini juga dibangunkan untuk memperbaiki sistem yang sedia ada.
“Pada peringkat awal, HBN digunakan untuk Malakat dahulu. Kita juga ada niat untuk digunakan oleh semua pemain industri halal global.
“Kami menjangkakan ini projek blockchain terpenting dunia kerana melibatkan makanan halal kepada lebih 1.8 bilion umat Islam di seluruh dunia.
“Kita sasarkan daging import dari India akan mula diterima menjelang bulan Ramadhan yang akan menggunakan aplikasi HBN,” katanya.
Tambahnya, bekalan tempatan turut dilengkapi aplikasi yang sama.
Jelasnya, penggunaaan teknologi terkini blockchain menjadikan rangkaian jenama pasaraya Halal Blockchain Network itu pasaraya pertama di dunia yang menjual sumber bekalan makanan yang benar-benar halal, tanpa dimanipulasi pihak ketiga yang menggunakan logo halal palsu.
Artikel oleh: Harakah Daily
TEKNOLOGI HBN JAMINAN BEKALAN MAKANAN HALAL DUNIA
https://harakahdaily.net/index.php/2021/03/05/teknologi-hbn-jaminan-bekalan-makanan-halal-dunia/