Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
TERIMA KASIH KERAJAAN ATAS KEPRIHATINAN – KENYATAAN MEDIA PPIM – 17/03/2022
17 Mar 2022

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atas pengumuman beliau semalam berkaitan pengeluaran dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan@toqqi bagaimanapun mengingatkan pengguna agar sentiasa berhemah dalam penggunaan wang tersebut.

“Wang KWSP umumnya kita tahu adalah untuk penggunaan ketika persaraan atau waktu kecemasan seperti perubatan, pendidikan, perumahan dan sebagainya,” katanya.

Oleh itu, Nadzim berpesan kepada pencarum agar hanya mengeluarkan amaun yang diperlukan dan tidak menyalahgunakan kelonggaran yang diberikan pihak kerajaan.

“PPIM memahami tekanan yang dihadapi rakyat, namun pada masa yang sama kami turut bimbang dengan sikap segelintir pengguna yang tidak berdisplin dalam menguruskan kewangan sendiri,” katanya.

PPIM menasihatkan pengguna agar mengeluarkan wang mengikut keperluan sahaja supaya jika berlaku kecemasan yang lain, mereka boleh membuat pengeluaran yang lain.

“Pencarum boleh pergi ke mana-mana cawangan KWSP bagi mendapatkan khidmat nasihat pengeluaran sebelum tempoh permohonan dibuka supaya mereka lebih faham situasi kewangan mereka,” katanya.

Pencarum juga dinasihatkan agar tidak beremosi dan bersikap terbuka dalam menerima nasihat pakar-pakar ekonomi dan membuat pilihan yang bijak demi kelangsungan hidup.

“Elakkan berbelanja berlebihan untuk musim perayaan akan datang, dan berbelanja secara sederhana untuk persiapan persekolahan adalah amalan yang baik, jika tiada keperluan mendesak, lebih elok wang itu disimpan untuk masa hadapan,” katanya.