TEROWONG AIR PAHANG SELANGOR
25 May 2012
KEHIDUPAN
selama beberapa bulan tanpa bekalan air di rumah membuatkan keluarga
Mohd. Zuki Yazid, 34 dan isterinya, Normah Abdul Razak, 33, terpaksa
mengambil air bukit di Sungai Long, Kajang, Selangor yang terletak
kira-kira 10 kilometer dari rumahnya.
Bekalan
air ke rumah mereka telah dipotong beberapa bulan lalu kerana
kesempitan hidup akibat kemalangan yang menimpa anak keduanya kira-kira
lima tahun lepas.
Normah dan suaminya akan pergi ke bukit berkenaan untuk mengambil air setiap hari sejak bekalan air ke rumahnya dipotong.
“Bagi
saya dan keluarga biarlah tiada elektrik daripada tiada air kerana air
lebih penting untuk menguruskan kehidupan seharian. Air merupakan
keperluan asas kepada kita untuk melakukan segala aktiviti seharian,”
katanya.
Namun
atas keprihatinan pihak Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dia
diberi air percuma selama enam bulan melalui program Tabung Budi.
“Saya
bersyukur sangat kerana keluarga kami terpilih untuk menyertai program
tersebut. Keluarga kami akan menggunakan air dengan cermat dan tidak
membazir kerana menyedari betapa berharga air untuk kami meneruskan
kehidupan,” tambahnya.
Masalah
yang dihadapi Mohd. Zuki dan Normah mungkin salah satu contoh kecil
pengurusan air kediaman yang boleh memburuk dan menjadi isu yang lebih
besar.
Daripada
sebuah masalah keluarga yang tidak berkemampuan, kehilangan sumber
utama itu boleh menjadi krisis yang lebih dahsyat. Kekontangan bekalan
air mampu mencetus ketidakselesaan komuniti, melumpuhkan mekanisme
perniagaan dan industri serta menjejas psikologi sosial.
|
Mesin NATM yg berfungsi menggerudi batu sepanjang projek PPAMPS. |
Terpanjang di Asia Tenggara
Dalam
senario terkini, faktor kepentingan air kepada penduduk dan kekurangan
punca sumber air mentah di negeri Selangor pada masa depan telah
mendorong kerajaan mengambil keputusan untuk menyegerakan pelaksanaan
pembinaan Projek Penyaluran Air Mentah Pahang – Selangor (PPAMPS).
Projek
itu melibatkan dua fasa utama iaitu pertama, pembekalan air mentah
dari Pahang ke Selangor termasuk terowong bawah tanah antara Karak di
Pahang dan Hulu Langat di Selangor, serta kedua, pembinaan loji rawatan
air di Hulu Langat.
Projek
berimpak tinggi yang bernilai RM3.936 bilion itu dijangka siap pada
tahun 2014. Apabila projek itu siap nanti terowong itu akan menjadi
terowong air mentah terpanjang di Asia Tenggara dan yang keenam di
dunia.
Pelaburan
besar negara ke atas projek yang mengambil masa kira-kira empat tahun
lagi itu penting kerana air merupakan keperluan penduduk.
Bagi
Setiausaha Kerja Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk
Nadzim Johan, ketiadaan sumber air merupakan satu isu yang berat kepada
pengguna.
Katanya, projek penyaluran air mentah dari Pahang itu akan memberikan impak yang positif kepada pengguna apabila ia siap kelak.
“Usaha
yang dilakukan kerajaan itu sangat bermanfaat memandangkan bekalan air
bersih amat penting untuk segenap lapisan masyarakat. Masyarakat Islam
misalnya, memerlukannya untuk berwuduk, bersuci dan sebagainya,” ujar
beliau.
Tambah Nadzim, pada masa yang sama, masyarakat perlu dididik untuk bertindak sebagai pengguna air yang berhemah.
“Kita
perlu menghargai air kerana sebanyak manapun air itu disalirkan, jika
ia tidak digunakan dengan sebaik mungkin, ia akan habis juga,” kata
beliau.
|
TBM yang dibeli dari Amerika Syarikat mengorek laluan bawah tanah untuk saluran air. |
Punca air
Menurut
Pengarah Projek PPAMPS, Datuk Ir. Ismail Mat Noor projek tersebut
bertujuan untuk menyalurkan air mentah dari Sungai Semantan di Pahang
ke Hulu Langat, Selangor.
Jelas
beliau, Sungai Semantan dipilih sebagai sumber untuk menyalurkan air
ke Selangor kerana keupayaan sungai tersebut membekalkan air.
“Sungai
Semantan merupakan sungai yang berpunca dari tiga sungai yang lain
seperti Sungai Telemung, Sungai Kelau dan Sungai Bentong. Namun, untuk
persediaan awal jika berlaku sebarang kemungkinan kami juga akan
membina sebuah empangan di Kelau,” ujar Ismail.
Jelasnya, empangan di Kelau itu bertujuan untuk menyimpan air mentah untuk dibekalkan ke Selangor.
“Misal
kata air di Sungai Semantan mengalami kemarau dan kekurangan air. Air
dari empangan itu akan dilepaskan ke dalam terowong tersebut. Itu
merupakan persediaan yang dibuat untuk menampung air jika kekurangan
air di sungai itu,” ujar beliau.
Selain itu, Sungai Semantan turut dipilih kerana faktor kebersihan dan kualiti airnya yang masih boleh dirawat dengan mudah.
“Boleh dikatakan kebanyakan sungai di Pahang mempunyai kualiti air yang baik termasuklah Sungai Pahang.
Demi
untuk menjayakan penyaluran air itu nanti mengikut masa yang
ditetapkan, empat komponen utama terdiri daripada terowong penyaluran
air, empangan Muka Sauk dan empangan Kelau, saliran paip berkembar dan
Stesen Pam Air Semantan.
Terowong air mentah itu berkeupayaan membekalkan air mentah sebanyak 1,890 liter air sehari apabila siap kelak.
Teknologi
canggih PPAMPS dengan status projek mega beberapa mesin berteknologi
tinggi digunakan dalam proses untuk menyiapkan Projek Penyaluran Air
Mentah Pahang ke Selangor (PPAMPS).
Antara
mesin yang berkhidmat dengan PPAMPS sehingga projek itu selesai ialah
beberapa buah Tunnel Boring Machine (TBM), New Austrian Tunneling
Method (NATM) dan Conduit.
Setiap mesin atau kaedah yang digunakan itu mempunyai keistimewaannya yang tersendiri.
Pada 29 November yang lalu, TBM3 telah memulakan operasinya untuk mengorek terowong bawah tanah sejauh 11.2 kilometer (km).
Ismail berkata, projek terowong itu sahaja bernilai RM1.3 bilion bakal menyalurkan air mentah dalam lima tahun lagi.
Menurutnya,
TBM3 atau juga dikenali sebagai Tiara Midori, melakukan kerja-kerja
mengorek bersama dua lagi mesin pengorek iaitu Kamila (TBM1) dan
Selpah (TBM2).
“Mesin
pengorek Tiara Midori yang panjangnya 205 meter akan mengorek sejauh
11.2 kilometer dari sini (Semantan) dan ia mampu mengorek sejauh 1,000
meter setiap bulan.
“Mesin Tiara Midori akan beroperasi 24 jam menggunakan tenaga kerja sebanyak 20 orang untuk satu-satu syif,” ujarnya.
Tambah beliau, pihaknya turut melakukan beberapa persediaan sebelum kerja mengorek bermula seperti menyelidik jenis batu.
“Jika
batu jenis keras kita tidak perlu melakukan forepoling. Forepoling
merujuk kepada teknik untuk menahan tanah atau batu dari runtuh di
kawasan yang tidak kukuh,” jelasnya.
|
ISMAIL (kiri) menunjukkan replika TBM yang digunakan dalam proses menyiapkan terowong PPAMPS. |
Berdasarkan kajian awal, katanya, kira-kira 90 peratus dari kawasan yang bakal dikorek ialah kawasan berbatu keras.
Jelas
Ismail untuk kawasan berbatu, pihaknya menggunakan mesin yang dikenali
sebagai New Austrian Tunneling (NATM) beberapa meter sebelum TBM
memulakan tugasnya.
“NATM adalah satu kaedah dimana satu mesin akan menggerudi batu di kawasan tersebut.
“Dalam projek ini, kaedah NATM hanya digunakan di Inlet (air masuk) dan Outlet (air keluar) terowong sahaja,” katanya.
Projek yang dijangka siap pada bulan Jun 2014 itu akan menyalurkan air mentah sebanyak 1,890 juta liter sehari.
Sebanyak
empat syarikat terlibat dalam usaha sama itu seperti IJM Corp. Bhd.,
UEM Builders Bhd. Shimizu Co rporation dan Nishimatsu Construction Co.
Ltd.
Projek
itu diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan bagi memenuhi keperluan
bekalan air di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan
Putrajaya.
Namun, Kerajaan Negeri Selangor pula yang nampaknya cuba menggagalkan usaha ini. Entahlah.
Post Views: 606