Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
TERSILAP BERI BABI: SYARIKAT PENGHANTAR DIGESA TINGKATKAN PROSEDUR OPERASI – UTUSAN MALAYSIA – 05/06/2024
06 Jun 2024

PETALING JAYA: Syarikat penghantaran makanan digesa meningkatkan prosedur operasi terutama melibatkan makanan halal ekoran kecuaian seorang penghantar makanan yang memberi makanan mengandungi babi kepada kanak-kanak beragama Islam.

Presiden Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, prosedur operasi perlu ditambah baik bagi mengelak kesilapan yang membimbangkan pengguna berulang.

Kata beliau, kanak-kanak yang berusia lapan tahun itu adalah pelajar tahfiz di sebuah madrasah.

“Dalam keadaan ini, pengguna itu meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada syarikat penghantar namun apakah silap untuk pengguna yakin dengan syarikat terbabit?

“Perlukah pengguna mengelakkan dari menggunakan perkhidmatan mereka kerana tidak bertanggungjawab soal ini,” katanya  dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Pengarah Latihan dan Penyelidikan PPIM, Izham Nayan mendedahkan terdapat seorang kanak-kanak beragama Islam tersilap makan makanan tidak halal yang dihantar oleh syarikat penghantaran terkenal.

Jelas Izham, makanan tersebut dipesan oleh bapa kanak-kanak tersebut dan kemudian diperiksa oleh ibunya, bagaimanapun ketiadaan resit menyebabkannya tidak tahu makanan itu mengandungi babi.

Perkara itu didakwa terjadi selepas penghantar makanan membuat kesilapan dengan memberi makanan yang salah kepada kanak-kanak tersebut.

Malah, difahamkan keluarga tersebut sudah membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.

Nadzim berkata, syarikat penghantaran itu perlu menghubungi pelanggan terkesan dan berbincang mengenai penyelesaian terbaik.

“Syarikat sebesar mereka sepatutnya mampu melantik pegawai yang memantau bagi memastikan perkara sebegini tidak berlaku,” katanya – UTUSAN

Artikel oleh: Utusan Malaysia

TERSILAP BERI BABI: SYARIKAT PENGHANTAR DIGESA TINGKATKAN PROSEDUR OPERASI

https://www.utusan.com.my/nasional/2024/06/tersilap-beri-babi-syarikat-penghantar-digesa-tingkatkan-prosedur-operasi/