Kuala Lumpur: Anak tempatan terutama golongan muda perlu terus diberi peluang untuk mendapatkan pekerjaan di mana-mana pasar termasuk pasar borong.
Pengerusi Persatuan Penjaja-Penjaja dan Peniaga-Peniaga Kecil Wilayah Persekutuan (PPPKMWP) Pasar Borong Harian Selayang, Mohammad Pandu Insani Yahya berkata, sejak perlaksanaan larangan warga asing bekerja di Pasar Harian Selayang dan Pasar Borong Kuala Lumpur pada tahun lalu, tiada lagi kelibat golongan terbabit di dalam kawasan pasar berkenaan.
“Susulan itu, ramai anak tempatan datang untuk menghadiri temu duga daripada pelbagai latar belakang termasuk mempunyai pendidikan tinggi dan pernah bekerja sebagai profesional.
“Ada antara mereka memohon bekerja di sana adalah individu yang berusia seawal 15 hingga 67 tahun,” katanya dalam program bual bicara yang bersiaran langsung di Facebook, semalam.
Beliau bersama Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan serta Setiausaha PPPKMWP Pasar Borong Harian Selayang Saharudin Dorani menjadi panel dalam program bual bicara, Pasar Borong dan Hak Istimewa untuk Rakyat Malaysia yang dikendalikan oleh Faizal Zakaria sebagai moderator.
Pandu Insani berkata, sehingga kini, masih ada anak tempatan bekerja di pasar-pasar berkenaan selain ada juga yang berhenti memandangkan sektor asal pekerjaan mereka sebelum ini sudah dibuka semula.
“Ada anak muda tempatan yang bekerja di sana mula menceburi bidang perniagaan selepas mendapat pengalaman serta pengetahuan untuk menjadi peniaga.
“Melihat kepada situasi ini, dakwaan anak tempatan tidak berminat serta malas untuk bekerja di pasar adalah tidak benar dan mereka perlu diberi peluang untuk mendapatkan pekerjaan itu,” katanya.
Bagaimanapun, beliau tidak menafikan bahawa ada antara peniaga pasar borong yang tidak berminat untuk mengambil anak tempatan bekerja atas faktor gaji serta sudah biasa menggunakan khidmat warga asing.
“Gaji minimum yang ditawarkan bagi anak tempatan adalah RM80 sehari. Namun, ada yang ditawarkan lebih iaitu antara RM120 hingga RM250 sehari. Jumlah (gaji) itu dikira tinggi berbanding upah warga asing yang lebih murah.
“Jika dilihat kepada cara warga asing itu bekerja, memang mereka agak lasak. Namun, ada antara anak tempatan yang boleh bekerja dengan cara sama,” katanya.
Bagi Saharudin pula, beberapa pendekatan perlu diambil untuk menarik minat anak tempatan terutama golongan muda bekerja di pasar borong.
“Antara pendekatan yang boleh dilakukan termasuk melalui inisiatif seperti memberi kemudahan asrama, insurans serta mencarum dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk mereka.
“Pada masa sama, pengalaman bekerja di pasar borong adalah peluang yang baik untuk memberikan tunjuk ajar serta bimbingan kepada anak tempatan menceburi bidang perniagaan,” katanya.
Sementara itu, Nadzim berkata, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas yang boleh dilakukan kepada warga asing yang masih menjalankan perniagaan di luar pasar borong.
“Kita tahu keadaan mereka terutama bagi pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang tidak dibenarkan bekerja, perlu ‘cari makan’.
“Dalam isu ini, perlu ada penyelesaian yang jelas terhadap mereka supaya masalah itu tidak lagi berterusan membelenggu perkara lain termasuk membabitkan pasar borong,” katanya.
Artikel oleh: Harian Metro
TERUS BERI PELUANG ANAK TEMPATAN BEKERJA DI PASAR BORONG