SUNGAI BESAR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berjaya menghubungi ‘The Hood Man‘ atau Abdullah yang menyalurkan maklumat berkaitan isu loji sembelihan Thomas Foods International (TFI) Lobethal, Australia yang didakwa tidak mematuhi keperluan standard dan prosedur halal Malaysia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, maklumat yang diperoleh daripada lelaki terbabit akan disahkan untuk tujuan siasatan kes berkenaan.
“Beliau (Abdullah) sudah dapat dihubungi dan maklumat yang diberikannya akan dijadikan satu bahan tindakan terhadap sesiapa yang pernah terbabit dalam kes itu.
“Setakat ini, kita telah gantung syarikat itu (lesen loji sembelihan TFI Lobethal),” katanya, hari ini.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Projek Kompleks Pendidikan Yayasan Pendidikan Islam Selangor (YAPIS) di Rancangan Tanah Belia 1, Sungai Panjang, di sini.
Media sebelum ini melaporkan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) bersama Pertubuhan Kemasyarakatan Rakyat (Pekemas) dan Sahabat 99 mendedahkan perlanggaran prosedur operasi standard (SOP) penyembelihan halal oleh loji sembelihan TFI Lobethal, Australia yang mendapat kelulusan dari badan induk halal, JAKIM.
Susulan itu, kerajaan berusaha menjejaki Abdullah bagi membantu siasatan.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai keselamatan Abdullah, Idris percaya ia tidak mempunyai sebarang masalah kerana Australia adalah negara yang menekankan hak kepenggunaan.
“JAKIM tidak berkompromi mengenai isu halal yang merupakan aspek penting dalam makanan dan minuman kepada penduduk Islam di Malaysia.
“Setakat ini, kita tidak dengar mengenai penyelewengan dilakukan pegawai-pegawai JAKIM dalam soal halal.
“Ini ‘clear’ dan ada menganggap JAKIM rumit disebabkan kita mengikut prosedur operasi standard (SOP) sebab jaga makan minum orang.
“Disebabkan itu, (Bahagian) halal JAKIM dihormati di peringkat dunia,” katanya.
Artikel oleh: Berita Harian
‘THE HOOD MAN’ SUDAH BERI MAKLUMAT, JAKIM SEDANG SIASAT