


Kuala Lumpur: “Keadaan penduduk sangat teruk, tiada makanan dan air bersih apatah lagi ubat-ubatan,” kata Ketua Lembaga Aceh Bersatu (LEMBATU), Tengku Munawar Spdi mengenai mangsa banjir dan tanah runtuh dahsyat yang berlaku di Aceh, Sumatera, Indonesia.
Sejak bencana banjir ‘luar biasa’ melanda 26 November lalu, hidup mereka masih ditemani kelaparan, kegelapan dan ketidakpastian terhadap masa depan.
Menurut Tengku Munawar, bencana melanda keseluruhan kawasan berkenaan hampir sebulan lalu itu disifatkan terburuk selepas bencana tsunami pada 2004.
Katanya, sehingga kini penduduk dihimpit kesusahan untuk mendapatkan bekalan makanan dan minuman, malah terpaksa berlindung di masjid serta madrasah apabila kediaman mereka masih ditenggelami lumpur tebal.
“Ada antara mereka terpaksa berjalan sejauh lima hingga 10 kilometer semata-mata untuk mendapatkan sedikit beras.
“Lebih menyedihkan, anak kecil tidak mendapat makanan sehingga ada yang menangis tanpa henti dan akhirnya diam. Begitu juga ibu mengandung dan orang tua yang tidak mendapat ubat-ubatan,” katanya dalam sidang media di Pejabat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di sini, hari ini.
Tengku Munawar berkata, lapan sukarelawannya meninggal dunia dalam misi bantuan selepas menempuh perjalanan yang sukar termasuk mendaki untuk menghantar bantuan kepada mangsa bencana.
Katanya, apa yang menyukarkan keadaan untuk bantuan dihantar kepada mangsa adalah keadaan jalan yang masih berlumpur dan banyak kenderaan tertimbus.
Menurutnya, laluan turut dihalang kayu balak yang melintang dan tidak dapat dialihkan selain dengan bantuan jentera berat.
Justeru, beliau amat mengharapkan keprihatinan rakyat Malaysia untuk sama-masa membantu mangsa banjir di Aceh.
Sementara itu, Pengurus Kanan Harmoni Prihatin Malaysia, Siti Khadijah Hassan Berseri berkata, pihaknya sudah menggerakkan misi bantuan dengan dua siri bantuan dihantar ke lokasi membabitkan jumlah keseluruhan RM100,000.
Beliau berkata, misi pertama digerakkan pada 9 Disember lalu untuk mengenal pasti situasi dan jenis bantuan diperlukan diikuti penghantaran bantuan makanan serta air bersih dengan kerjasama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain.
“Saya melihat sendiri keadaan di sana memang sangat dahsyat seakan ‘pekan zombi’. Seluruh kawasan dan rumah penduduk ditenggelami lumpur berserta kayu selain mereka juga sudah terputus bekalan elektrik kerana pencawang turut dihanyutkan banjir.
“Paling kami risaukan adalah isu kebuluran sekiranya bantuan makanan dan minuman bersih tidak dapat disalurkan kepada mangsa,” katanya yang akan meneruskan misi ketiga pada 31 Disember ini.
Usaha itu turut disokong Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan yang memaklumkan akan menarik lebih ramai NGO menyertai misi bantuan itu termasuk daripada kerajaan.
Terdahulu, AFP melaporkan setakat Selasa lalu, angka korban banjir di Sumatera dicatatkan pada 1,030 orang.
Artikel oleh: Harian Metro
TIADA MAKANAN, TIADA AIR BERSIH, TIADA UBAT UNTUK MANGSA BANJIR ACEH