Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, tindakan tegas akan menanti pesalah terlibat daripada segi perundangan.
“Insya-Allah, jika ada suspek yang melakukan perbuatan jenayah, individu itu atau sesiapa sahaja yang berada di belakangnya, mereka tidak akan pernah terlepas daripada tindakan perundangan. Saya beri jaminan.
“Walaupun mungkin kita berbeza pendapat atau pandangan atau kepentingan tertentu, tetapi soal nyawa tidak ada batas kemanusiaan. Tidak harus menggunakan kehidupan, nyawa anak-anak ini sebagai bahan perbezaan pendapat jika ada,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan Program Kesihatan Pergigian Warga Kolej Komuniti Peringkat Kebangsaan di Sekolah Menengah Sains Bagan Datuk di sini hari ini.
Yang turut hadir Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya dan Pegawai Daerah Bagan Datuk, Datuk Hamzah Husin.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, ketika ini pihak Jabatan Forensik sedang melihat pelbagai kemungkinan sama ada terdapat unsur-unsur jenayah berlaku dalam tragedi tersebut.
Pada masa sama kata Ahmad Zahid, Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysai (PDRM) juga sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang diperoleh daripada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang terletak berhampiran pusat tahfiz tersebut.
“Justeru saya mohon orang ramai jangan buat spekulasi apatah lagi menularkan gambar yang diperoleh daripada PPIM untuk dianalisis mengikut pandangan masing-masing. Serahkan sepenuhnya kepada pihak terlibat untuk membuat kerja mereka,” katanya.
Ahmad Zahid turut mengulangi permintaan kerajaan supaya semua maahad tahfiz dan sekolah agama rakyat milik swasta mendaftar dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam negeri masing-masing agar pemantauan dan bantuan dapat dilakukan.
“Jangan khuatir kononnya akan diambil alih oleh Jabatan Agama Islam atau Jakim sendiri. Tidak ada niat. Kita hanya mahu membantu.
“Jangan ada prasangka yang negatif terhadap usaha-usaha penyelarasan ini. Jangan sudah terhantuk baru terngadah,” katanya.