KUALA LUMPUR: Masyarakat tidak pernah melupakan golongan pemandu teksi dalam isu pemberian bantuan kepada mereka yang terkesan akibat pandemik COVID-19.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan menjelaskan ujian pandemik COVID-19 yang sedang melanda seluruh dunia tentunya memberi impak besar buat semua masyarakat.
“Ujian ini sebenarnya untuk kita bersama-sama menghadapinya dan membantu saudara-saudara kita. Oleh yang demikian PPIM bersama-sama beberapa organisasi, penaja dan penyumbang berganding bahu bagi menyalurkan bantuan.
“Berdasarkan maklum balas yang kami terima dari penyelaras, pemandu teksi juga merupakan golongan yang tidak terkecuali berhadapan saat getir ini. Mereka sangat memerlukan sumbangan bantuan dengan kadar segera terutama bagi mereka yang merupakan golongan asnaf dan B40.
“Kami dengan ini berusaha bersama-sama menguruskan untuk menghantar bantuan sumbangan dan beberapa keperluan kepada mereka,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Jelas Nadzim lagi, ramai yang telah kehilangan tempat tinggal, harta benda serta terputus sumber pendapatan kini.
Katanya, PPIM di bawah selian Unit Kebajikan PPIM (UKPPIM), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), KINGZ Motorcycle Group, Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWIP), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Malaysia Airports (Sepang) Sdn. Bhd & Gabungan Teksi SeMalaysia (GTSM) telah berkolaberasi bagi agihan Sumbangan Infaq Rezeki berjumlah RM16,000 kepada 200 pemandu teksi KLIA yang terkesan akibat pandemik.
Ujarnya, agihan itu turut melibatkan jalinan kerjasama dan tajaan beberapa organisasi seperti sumbangan.com (Gerbang Sumbangan Sdn Bhd), Yayasan PATRIOT Negara Malaysia (YPNM), Icon Production Sdn Bhd dan SATRIA Intelligence Agency Sdn Bhd.
Mengulas isu sama, Ketua Operasi – Unit Kebajikan PPIM, Siti Khadijah Hassan Berseri mahu pemandu teksi dan penerima bantuan merasakan masih ada yang peduli dan sayang kepada mereka.
“Bentuk bantuan yang diberikan adalah berupa barangan asas keperluan dapur. Setakat hari ini, sebanyak lebih 100,000 penerima manfaat Infaq Rezeki telah disalurkan.
“Melalui jalinan kerjasama dari pelbagai agensi ini juga akan memberikan impak positif dan kami sentiasa membuka ruang kepada mereka yang ingin bersama-sama dalam misi bantuan Infaq Rezeki supaya lebih ramai akan menerima manfaat.
“Dana bagi gerak kerja ini dikumpulkan melalui sumbangan orang ramai mengunakan platform dalam talian iaitu sumbangan.com,” katanya.
Artikel oleh: Astro Awani
TIADA SIAPA LUPAKAN IMPAK PANDEMIK KEPADA PEMANDU TEKSI – PPIM