Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
TIDAK ADA KEPERLUAN PINDAAN RUU 342 – PPIM – KENYATAAN MEDIA PPIM – 12/10/2024
12 Oct 2024

KUALA LUMPUR — Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mewakili pengguna tidak menyokong pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2024.

Bantahan ini berasaskan kebimbangan terhadap hak asasi dan potensi penyalahgunaan kuasa oleh pihak tidak bertanggungjawab.

PPIM berpendapat undang-undang perlu bersifat mendidik, bukan menghukum.

Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan@toqqi berkata, ini adalah percubaan kedua untuk meminda undang-undang ini selepas ia ditarik balik pada Mac 2022 oleh Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Antara Pindaan Utama yang dilihat sangat tidak relevan ialah berkaitan kuasa pegawai. Menurut Seksyen 14A; klausa itu memberi kuasa kepada pegawai untuk menggunakan kekerasan bagi memastikan perintahnya dipatuhi walaupun hanya dengan syak sahaja,” katanya.

PPIM mendapati seksyen baharu 15A pula memberi kuasa kepada pegawai untuk memerintahkan individu yang dijangkiti atau disyaki dijangkiti, serta kontak rapat, untuk memakai atau menggunakan peranti pengesanan.

“Perkara ini jelas melanggar hak asasi seseorang,” katanya.

PPIM melihat ia meningkatkan kuasa dan autoriti serta memberi kuasa penuh (absolute power) kepada Ketua Pengarah Kesihatan.

Selain itu, denda maksimum untuk individu yang melanggar undang-undang ini meningkat dari RM1,000 kepada RM5,000.

PPIM berpendapat perubahan pada kompaun dan penalti itu tinggi membebankan rakyat.

“Langkah punitif mungkin memberi kesan tidak seimbang kepada golongan rentan bawahan, terutama dari latar belakang sosioekonomi rendah.

“Selain itu RUU ini akan membuka risiko penyalahgunaan kuasa yang luas kepada Ketua Pengarah KKM dan mungkin membuka ruang untuk rasuah,” katanya

Pindaan kepada Akta 342 dibentangkan untuk bacaan pertama di Dewan Rakyat pada 15-18 Julai 2024 oleh Menteri Kesihatan Datuk Seri Dzulkifly Ahmad.

Sebelum ini, Pindaan RUU ini pernah dibantah oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika beliau ketua pembangkang.

Anwar berpendapat pindaan tersebut berpotensi menyalahgunakan kuasa, terutama dalam aspek penguatkuasaan yang terlalu keras.

Selain itu, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad sendiri pernah menzahirkan kebimbangan mengenai kuasa yang terlalu besar diberikan kepada Ketua Pengarah Kesihatan dan pegawai-pegawai penguatkuasa.

Beliau menegaskan perlunya keseimbangan dalam penguatkuasaan undang-undang dan menolak pendekatan yang terlalu punitif.