Kuala Lumpur: Kesalahan pengkid ‘Ayid’ atau ‘Mohd Syahid yang mengenakan ihram dan berlagak sebagai lelaki di tanah suci Makkah boleh menyebabkan dia disiasat di bawah Seksyen 10 (C) dan Seksyen 11 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.
Pengarah Advokasi Khidmat Guam Mahmud Jumaat menerusi akaun Facebooknya berkata, seksyen berkenaan berkaitan menghina atau menyebabkan agama dipandang hina, turut menyatakan mana-mana orang yang dengan perkataan yang dapat didengar atau dibaca atau dengan lukisan, tanda atau bentuk lain gambaran yang tampak atau yang dapat dilihat atau dengan apa-apa cara lain.
Katanya, ia juga memperuntukkan denda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
“Seksyen 11 pula mengenai memusnahkan atau mencemarkan tempat beribadat. Seksyen ini menyatakan mana-mana orang yang memusnahkan, merosakkan atau mencemarkan mana-mana masjid atau surau atau tempat beribadat lain atau apa-apa kelengkapannya dengan niat untuk menghina atau mempersendakan agama Islam adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 ringgit.
“Seseorang itu juga boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan.
Mahmud berkata, sudah sampai masanya pihak berkuasa bertegas dengan kumpulan songsang yang sengaja mencetuskan kemarahan umat Islam di negara ini.
“Kesimpulannya perbuatan pengkid ini salah daripada segi undang-undang dan agama.
“Saya harap pihak berkuasa dan bertanggungjawab akan mengambil tindakan dan melakukan sesuatu untuk menangani kes ini supaya tiada lagi generasi meniru budaya seperti ini,” katanya.
Metro Ahad sebelum ini melaporkan Ayid memperdayakan beberapa mangsa dengan janji dan perlakuan romantis untuk memperisterikan mereka.
Tembelang ‘lelaki jadian’ itu terbongkar selepas rakaman video dia memakai ihram ketika menunaikan umrah di Makkah dimuat naik oleh seorang daripada mangsa penipuannya di media sosial sebelum tular.
Sabtu lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad berkata, siasatan berkaitan tindakan pengkid itu masih dijalankan termasuk bekerjasama dengan Jabatan Imigresen Malaysia.
Katanya, pihaknya tidak mendapat maklumat lengkap sama ada individu itu sudah pulang ke Malaysia atau sebaliknya.
Artikel oleh: Harian Metro
TINDAKAN ‘AYID’ PAKAI IHRAM DI MASJIDIL HARAM DIPANDANG SERIUS