KUALA LUMPUR 21 Nov. – Ahli politik seharusnya lebih fokus terhadap usaha memperbaiki dan mengukuhkan hubungan harmoni dalam masyarakat berbilang kaum di Malaysia.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan menegaskan, perkara itu perlu diberi perhatian supaya perbuatan tidak bertanggungjawab menaikkan papan tanda berbahasa Cina di Selangor, tidak berulang.
Beliau berkata, ahli politik perlu memikirkan dan berusaha mengeratkan hubungan kaum di negara ini, bukannya terus menerus mencabar sensitiviti mana-mana bangsa atau agama.
“PPIM menjunjung kasih dan menyokong tindakan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menitahkan semua papan tanda jalan bertulisan Cina diturunkan segera.
“Titah Tuanku Sultan bertepatan dengan keadaan dalam negara ketika ini, malah perbuatan yang tidak bertanggungjawab menaikkan papan tanda itu sangat tidak masuk akal dan tidak boleh diterima, “ katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurutnya, terdapat lebih 23 etnik berbilang kaum di seluruh negara dan bahasa Melayu dipilih sebagai bahasa rasmi negara.
“Bayangkan di seluruh negara ada pelbagai jenis tulisan menggunakan puluhan bahasa yang berbeza untuk papan tanda jalan, ia sangat tidak praktikal” katanya. UTUSAN ONLINE
Artikel Oleh : Utusan Malaysia
TITAH SULTAN SELANGOR TEPAT
http://www.utusan.com.my/berita/nasional/titah-sultan-selangor-tepat-nadzim-1.791302#ixzz5XYUmS1ie