Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
‘TOLONG SIASAT BAGAIMANA TANAH RIZAB MELAYU DI PERAK DIPINDAH MILIK KEPADA BUKAN BUMIPUTERA’ – PPIM – BERITA HARIAN – 29/08/2025
30 Aug 2025

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendesak pihak berkuasa menjalankan siasatan berhubung pemindahan tanah rizab Melayu (TRM) kepada syarikat bukan Bumiputera yang didakwa berlaku di Perak.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan, berkata pihaknya menerima beberapa aduan mengenai perkara itu yang turut terkandung dalam Laporan Ketua Audit Negara 2019.

Beliau berkata, siasatan mendapati tanah milik agensi kerajaan yang terletak di dua kawasan di Perak dipindah milik dalam bentuk saham kepada dua syarikat bukan Bumiputera.

Katanya, lebih mengejutkan sebahagian besar tanah itu sudah diberi kebenaran pecah lot untuk tujuan perumahan dan dijual kepada bukan Melayu.

“Penukaran tanah dilakukan melalui pemindahan saham syarikat kerana tanah dimiliki syarikat. Jadi, sesiapa saja boleh membeli tanah itu termasuk bukan warganegara melalui pertukaran saham syarikat, walaupun ia TRM.

“Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan polis perlu menyiasat perkara ini sama ada berlaku salah laku atau pemalsuan kerana memang jelas TRM tidak boleh dipindah milik kecuali mendapat kebenaran atau kelulusan pihak berkuasa,” katanya selepas menyerahkan memorandum kepada wakil Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) di Menara KPJ di sini, hari ini.

Pada 2023, media menyiarkan laporan mengenai pengurusan TRM di Perak dikesan kurang cekap sehingga mengakibatkan sekurang-kurangnya 3,214 hektar tanah status itu dipindah milik kepada bukan Melayu secara tidak sah.

Tindakan itu bertentangan dengan Seksyen 19 Enakmen Rizab Melayu 142 dan tidak mengikut Seksyen 419 Kanun Tanah Negara.

Nadzim berkata, PPIM juga sudah membuat laporan polis berhubung perkara itu dan menuntut satu siasatan menyeluruh dijalankan pihak berkuasa bagi mengenal pasti sama ada terdapat penipuan, pemalsuan dokumen serta salah guna kuasa oleh pihak tertentu.

Katanya, menjadi persoalan pihaknya bagaimana TRM boleh dipindah milik kepada bukan Melayu dan siapa yang meluluskan pemindahan itu.

“Kami meminta JSJK menyiasat dengan telus dan jujur supaya hak orang Melayu dipelihara serta tidak digadai kepada bukan Melayu dengan menerima suapan,” katanya.

Nadzim berharap pihak terbabit dibawa ke muka pengadilan tanpa mengira pangkat atau kuasa, jika didapati wujud kelakuan jenayah.

Artikel oleh: Berita Harian

‘TOLONG SIASAT BAGAIMANA TANAH RIZAB MELAYU DI PERAK DIPINDAH MILIK KEPADA BUKAN BUMIPUTERA’ – PPIM

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/08/1439715/tolong-siasat-bagaimana-tanah-rizab-melayu-di-perak-dipindah-milik