Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diminta bertindak terhadap pihak tertentu yang mempunyai kaitan dengan ‘tali barut’ atau tonto yang dilihat lebih berkuasa dan menjadi dalang kepada kegagalan kebanyakan operasi mencegah jenayah dan penguatkuasaan di negara ini.
Pengarah Unit Tindakan Khas, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Muhammad Yusuf Azmi (gambar) berkata, tonto yang selama ini memberi masalah kepada setiap operasi pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), masih bebas dan tidak dikenakan tindakan. “Saya nak persoalkan adakah tonto ini lebih berkuasa daripada pihak berkuasa kerana jika dilihat tindak tanduk mereka seolah-olah tidak gentar dengan undang-undang dan sesuka hati mengekori kenderaan pegawai penguat kuasa serta menunggu di hadapan pejabat atau jabatan penguat kuasa. “Kadang kala operasi yang dijalankan untuk membanteras aktiviti haram melibatkan polis gagal ekoran kebocoran maklumat daripada tonto.
Ini perkara yang saya rasa mungkin melibatkan segelintir pihak berkuasa bertindak melindungi kegiatan mereka,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.
http://www.utusan.com.my/berita/nasional/tonto-lebih-berkuasa-1.378245