Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
TRAGEDI MAVI MARMARA SUKAR DILUPAKAN – HARIAN METRO – 01/06/2021
01 Jun 2021

Kuala Lumpur: Biarpun sudah 11 tahun berlalu, kekejaman rejim zionis ke atas kapal Mavi Marmara tidak dapat dilupakan khususnya umat Islam di seluruh dunia.

Tidak terkecuali Malaysia, apabila beberapa badan bukan kerajaan (NGO) Islam tampil memberi peringatan betapa Israel yang rakus tidak mempedulikan nasib rakyat Gaza sehingga sanggup menyerang konvoi kemanusiaan.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, serangan yang mengorbankan sembilan aktivis itu perlu dikenang semua pihak sebagai bukti kekejaman Israel yang seperti tiada kesudahan.

“Flotila berkenaan harus dilihat sebagai inspirasi bagi semua aktivis di seluruh dunia untuk meneruskan perjuangan membebaskan Gaza.

“Sejak itu malah sebelumnya pun Gaza terus ditindas sehingga menjadi antara negara yang tidak boleh dihuni di dunia,” katanya.

Beliau berkata, sehingga kini sekatan ke atas bantuan antarabangsa masih diteruskan dan tidak sah di sisi undang-undang.

Sementara itu Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata, ia menjadi pengukur bahawa masyarakat Islam perlu berpegang teguh dengan prinsip yang seutuhnya dalam membantu saudara sesama Islam yang sedang ditindas.

Katanya, tanpa pegangan akidah yang kuat, tidak mungkin masyarakat Islam kini dapat bersatu dalam melawan segala bentuk kekejaman Israel.

“Disebabkan kita terlalu lemah, kita selalu dihina. Jika soal akidah juga boleh digugat, sedar atau tidak sedar kita sebenarnya mengundang sendiri penjajahan dalam diri kita,” katanya.

Dalam kejadian 31 Mei 2010 itu tentera laut Israel menembak sembilan aktivis di atas flotila itu yang membawa bantuan ke Gaza.

Ia mengundang kemarahan umat Islam di seluruh dunia kerana tindakan itu disifatkan sebagai tidak berperikemanusiaan.

Artikel oleh: Harian Metro

TRAGEDI MAVI MARMARA SUKAR DILUPAKAN

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/06/712687/tragedi-mavi-marmara-sukar-dilupakan