


KUALA LUMPUR – Kerugian melibatkan penipuan digital dan kebocoran data di negara ini merekodkan peningkatan membimbangkan apabila mencecah RM2.77 bilion tahun lalu berbanding RM1.57 bilion pada 2024.
Statistik itu turut menunjukkan peningkatan ketara berbanding RM1.28 bilion yang direkodkan pada 2023, sekali gus menggambarkan ancaman jenayah siber semakin serius dan berskala nasional.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, trend peningkatan berkenaan mencerminkan taktik sindiket penipuan yang semakin canggih selain mendedahkan kelemahan ketara dalam sistem telekomunikasi sedia ada.
Menurutnya, mangsa penipuan digital kini melibatkan semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang.
“Terdapat kes membabitkan kerugian individu mencecah ratusan ribu ringgit.
“Kesan penipuan ini bukan sekadar kehilangan wang ringgit semata-mata, tetapi turut memberi tekanan emosi yang berat serta menjejaskan kesejahteraan hidup rakyat secara menyeluruh,” katanya dalam sidang akhbar di sini pada Selasa.

Beliau berkata, berdasarkan analisis aduan diterima daripada pengguna, PPIM mendapati kebocoran data peribadi seperti nombor telefon dan maklumat akaun kewangan antara isu utama yang dieksploitasi pihak tidak bertanggungjawab.
Katanya, sindiket kini menggunakan pelbagai modus operandi baharu termasuk penyamaran identiti, penggunaan akaun pihak ketiga atau keldai akaun serta taktik dikenali sebagai floating money scam.
“PPIM turut mengesan beberapa kelonggaran dalam sistem telekomunikasi negara yang perlu ditangani segera.
“Antaranya isu pendaftaran talian tanpa kebenaran, caj tersembunyi yang tidak telus, gangguan perkhidmatan serta mekanisme langganan yang mengelirukan pengguna,” katanya.
Menurutnya, semua pihak berkepentingan perlu mengubah strategi dalam mendepani jenayah siber secara lebih agresif.
“Pendekatan pencegahan awal perlu diberi keutamaan berbanding tindakan selepas pengguna mengalami kerugian.
“Kita mahu aktiviti scam dihentikan sebelum ia sempat sampai kepada pengguna, bukannya bertindak selepas kerugian berlaku,” katanya.
Jelasnya, bagi mencapai hasrat itu, penggunaan teknologi seperti pengesanan corak dan sekatan masa nyata perlu dimanfaatkan secara lebih meluas dalam sistem rangkaian negara.
Artikel oleh: Sinar Harian
TREND MENINGKAT PENIPUAN DIGITAL, KEBOCORAN DATA CECAH RM2.77 BILION