Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
TUBUH JAWATAN KUASA SIASATAN SELESAI ISU DAGING IMPORT HALAL – UTUSAN MALAYSIA – 25/08/2022
27 Aug 2022

PETALING JAYA: Gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam mendesak  Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menubuhkan satu jawatan kuasa siasatan dalam menangani isu daging import halal.

Desakan dibuat enam NGO iaitu Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM); Pertubuhan Kemasyarakatan Rakyat (Pekemas); Pertubuhan Produk Ummah Malaysia; Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Malaysia (Perkid), Persatuan Anti Diskriminasi dan Salah Laku serta Sahaba 99.

Salah seorang wakil NGO, Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan berkata, langkah tersebut penting selepas timbul banyak keraguan membabitkan aspek dan prosedur selain pengurusan di pusat sembelihan.

Malah, beliau dalam masa yang sama menyatakan kesediaan untuk berjumpa dan membantu pihak Jakim menjadi pemantau dan bekerjasama dengan atase halal di Australia.

“Kita bersedia menghantar NGO ke sana (Australia) bagi melaksanakan tugas-tugas pemantauan. Ini kerana banyak keraguan yang perlu diperjelaskan termasuk hasil Jakim dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) yang dikatakan masih tidak melakukan pemeriksaan di rumah sembelihan berkenaan.

“Sekiranya suara NGO tidak dipedulikan, ada masalah dalam sistem sedia ada.Perkara ini (isu halal) telah berlaku bertahun-tahun. Justeru dengan adanya pembabitan wakil NGO, ia dapat mengikis keraguan pengguna pada masa akan datang,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat PPIM di sini semalam.

Desakan tersebut dibuat selepas  tiada pemeriksaan audit dibuat terhadap  Thomas Food Industries (TFI) biarpun lebih empat bulan isu ketidak patuhan halal di dedahkan.

Tambah Nadzim, gabungan NGO itu juga akan menghantar memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam masa terdekat bagi menyelesaikan perkara terbabit.

Dalam pada itu, Presiden Pekemas, Faizan Mohd. Nor berkata, sehingga ke hari ini, Jakim masih tidak berjumpa dengan pihaknya untuk memberi penjelasan berhubung isu daging import halal yang timbul sebelum ini .

Menurutnya, Jakim juga hanya mengeluarkan kenyataan yang disiarkan akhbar Utusan Malaysia pada 8 Ogos lalu yang menyatakan pihaknya masih menunggu laporan audit JPV.

“Jakim juga wajib menjelas mengapa mengambil masa walaupun perkara ini sudah berlarutan bertahun-tahun dengan bukti yang sangat jelas.

“Kita ada pengakuan bersumpah (SD), penampilan The Hooded Man, bukti-bukti dan video. Jadi mengapa ia mengambil masa yang lama?” tegasnya. –UTUSAN 

Artikel oleh: Utusan Malaysia

TUBUH JAWATAN KUASA SIASATAN SELESAI ISU DAGING IMPORT HALAL

https://www.utusan.com.my/berita/2022/08/tubuh-jawatan-kuasa-siasatan-selesai-isu-daging-import-halal/