PENCEGAHAN tabiat merokok perlu bermula dari rumah dan pengawasan ketat ibu bapa boleh menghalang kanak-kanak mencuba merokok.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata, peranan itu perlu dimainkan ibu bapa secara menyeluruh bagi memastikan anak-anak mereka tidak terbabit dalam kegiatan tidak bermoral berkenaan.
Katanya sepatutnya dalam usia yang masih kecil, kanak-kanak ini sudah ditanam dengan kesedaran mengenai bahaya rokok khasnya rokok seludup yang mudah didapati di negara ini.
“Jika tidak kita akan berdepan suasana lebih parah. Rokok seludup ini adalah satu isu yang sudah bertahun-tahun dan PPIM menggesa satu jawatankuasa dibentuk bagi mengatasi isu ketagihan dalam kalangan kanak-kanak,” katanya kepada Harian Metro.
Beliau mengulas laporan akhbar ini mengenai harga murah antara RM4 hingga RM7 sekotak selain lambakan rokok seludup menjadikan kanak-kanak dan awal remaja mula merokok.
Kajian dijalankan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendedahkan, kanak-kanak seawal usia lapan tahun sudah mula terbabit dengan tabiat atau ketagihan merokok.
Lapor kajian itu, golongan kanak-kanak seawal usia lima hingga tujuh tahun mula terdedah kepada rokok selepas diminta bapa mereka untuk membelinya di kedai.
“Ini yang saya sebut peranan bermula dari rumah. Pada peringkat ini, kanak-kanak hanya menjadikan ibu bapa sebagai panduan, bukan rakan sebaya kerana mereka masih terlalu muda.
“Jika di rumah kita betul, maka bila mereka keluar juga, Insya-Allah akan baik-baik saja,” katanya.
Nadzim berkata, pihaknya juga mencadangkan agar kedai runcit turut memainkan tanggungjawab mereka dengan bukan saja tidak menjual rokok seludup, malah tidak membenarkan pelanggan di usia terlalu muda untuk membeli rokok berkenaan.
Katanya, dengan kesedaran menyeluruh semua pihak, isu berkenaan dapat diatasi dan kanak-kanak ini akan menjadi pelapis yang berguna untuk negara pada masa depan.
Artikel oleh: Harian Metro
TUBUH JAWATANKUASA ATASI KETAGIHAN MEROKOK KANAK-KANAK