KUALA LUMPUR – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) digesa mewujudkan satu jawatankuasa bagi menangani projek pembangunan oleh kontraktor bermasalah.
Ketua Aktivis Pertubuhan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, ia bagi memastikan kontraktor binaan tidak meneruskan projek pembangunan sekiranya wujud pengabaian kebajikan pekerja termasuk culas membayar gaji.
Ia susulan daripada sikap lepas tangan sebuah syarikat kontraktor dari China yang didakwa masih gagal menjelaskan bayaran kerja-kerja pembinaan termasuk gaji pekerja sebuah kondominium mewah di sini sejak empat bulan lalu.
“Kebelakangan ini terdapat banyak aduan sama ada kontraktor utama mahupun kecil yang tidak mendapat bayaran kerja-kerja pembinaan.
“PPIM melihat ini satu gejala yang tidak baik dan menimbulkan pelbagai masalah seperti isu sosial dan ekonomi di negara kita.
“Kontraktor tempatan bila ada masalah, bayaran tak dikeluarkan, maka satu jawatankuasa ataupun pusat aduan untuk membolehkan rakyat mengadu.
“Kerajaan boleh nasihatkan (kontraktor) wujudkan pangkalan data kontraktor yang gagal buat bayaran dan selepas ini kerajaan tak perlu beri lagi projek pembangunan yang membawa kesusahan kepada rakyat Malaysia,” katanya pada sidang media di tapak projek kondominium mewah D’Rapport Residences, di Jalan Nipah hari ini.
Terdahulu sekumpulan 100 pekerja warga Bangladesh berhimpun di tapak projek kondominium mewah itu sambil memegang gambar dan laporan polis terhadap kontraktor asing itu didakwa gagal menjelaskan bayaran gaji mereka sejak empat bulan lalu.
Selain pekerja asing, kontraktor kecil yang dianugerahkan kerja-kerja pembinaan tambahan hartanah itu turut tidak mendapat bayaran sehingga RM2 juta meskipun projek terbabit hampir 97 peratus telah disiapkan sehingga kini.
Sementara itu, menurut wakil syarikat kontraktor Dasar Construction Sdn. Bhd., Hadar Thakrit, pihaknya dianugerahkan kerja-kerja itu daripada China Railway Group Limited sejak lima tahun lalu.
Bagaimanapun, projek bernilai RM5 juta itu kini masih mempunyai hutang tertunggak berjumlah RM2 juta dan kontraktor utama didakwa hanya mahu melunaskan RM78,000 sahaja.
“Permulaannya kontraktor utama membuat bayaran dengan baik sejak dua tahun lalu. Bagaimanapun baki RM2 juta masih belum dilunaskan,” katanya.
Hadar tidak menolak kemungkinan kontraktor asing cuba mempermainkan kontraktor tempatan apabila wujud cubaan untuk melanggar syarat pembayaran seperti mana yang dipersetujui sebelum ini.
“Isu bayaran RM78,000 itu telah dimainkan sejak 4 bulan lalu namun bayaran tidak pun dibuat.
“Kontraktor utama hanya akan membayar RM78,000 dan baki selebihnya mereka enggan membuat bayaran sedangkan jumlah tertunggak adalah RM2 juta,” katanya.
Sehubungan itu, PPIM menggesa kerajaan segera campur tangan kepada sikap kontraktor asing yang cuba melanggari undang-undang di negara ini yang jelas bertentangan melakukan penganiayaan kepada pekerja walaupun warga asing.
“Kita tak nak perkara ini (tak buat bayaran) menjadi budaya di negara ini. Kita nak pihak kerajaan tengok terutamanya bila melibatkan kontraktor luar (asing).
“Pekerja datang dari Bangladesh, bukan mudah nak datang kena bayar duit (kos permit) jadi kita menganiaya mereka, mana kemanusiaan kita?
“Saya amat berharap pihak kerajaan dan Jabatan Perdana Menteri sendiri melihat perkara ini kerana rakyat dalam pelbagai cabaran hari ini.
“Ada 25 sub kontraktor yang mengadu dengan kita, kita tak mahu ada perkara-perkara yang zalim, sampai tak bayar gaji sampai 4 bulan,” katanya lagi.
Artikel oleh: Malaysia Gazette
TUBUH JAWATANKUASA PANTAU KONTRAKTOR ASING TAK BAYAR GAJI – PPIM