Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
TUBUH RCI SIASAT INTEGRITI JAKIM – UTUSAN MALAYSIA – 20/05/2022
01 Jun 2022

PUTRAJAYA: Sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) perlu ditubuhkan bagi menyiasat kepincangan integriti melibatkan pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berhubung isu pelanggaran protokol halal sebuah rumah sembelihan di Australia yang diiktiraf jabatan itu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, penyelidik bebas Australia, Murray Hunter berkata, segala bukti telah pun didedahkan selain pengakuan sendiri saksi utama salah laku di Thomas Food Industries (TFI) termasuk bukti rakaman audio membabitkan dalang di sebalik ketidakpatuhan rumah sembelihan itu.

Bukti terbaharu itu didedahkan dalam sidang akhbar semalam dengan rakaman tersebut dipercayai membabitkan pegawai Jakim dan individu dikenali sebagai Mohamed Adil Rahman serta Supreme Islamic Council of Halal Meat in Australia Inc. (SICHMA), yang bertanggungjawab selaku badan pensijilan halal ke atas loji sembelihan itu.

Berdasarkan butiran rakaman berkenaan, Mohamed Adil membuat pengakuan bahawa dia bertanggungjawab sebagai dalang menyahkan beberapa agensi pensijilan halal asing daripada pihak Jakim.

“Penubuhan RCI diperlukan untuk memulihkan semula integriti halal dan sebuah institusi agama Jakim.

“Perkara ini amat serius, laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah dibuat maka sudah tiba masanya siasatan bebas dijalankan secara menyeluruh,” katanya di sini semalam.

Selain rakaman audio, beberapa akuan bersumpah turut didedahkan dengan membabitkan beberapa pekerja di pusat penyembelihan tersebut dalam sidang akhbar oleh Presiden Pertubuhan Kemasyarakatan Rakyat (Pekemas), Faizan Mohd. Nor dan Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan.

Sebelum ini, seorang bekas pekerja sebuah rumah penyembelihan di Australia membuat pengakuan secara terbuka yang mendakwa ada bukti rakaman video cara sembelihan haiwan di situ yang melanggar protokol adalah benar sebagaimana didedahkan Utusan Malaysia sejak 14 April lalu.

Susulan itu, Jakim dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) memutuskan untuk menggantung lesen loji sembelihan Thomas Foods International Lobethal di Australia susulan isu penyembelihan yang meragukan itu sehingga satu hasil siasatan menyeluruh diperoleh.

Dalam pada itu, Murray berkata, penyertaan pegawai dari Majlis Ugama Islam Si­ngapura (MUIS) dalam sidang akhbar itu menerusi dalam talian juga menunjukkan badan agama luar negara mengambil serius isu berkenaan.

Ini kerana katanya, TFI turut mengeksport daging ke Si­ngapura dan perkara itu memberi implikasi kepada para pengguna umat Islam di negara itu. Dalam masa sama, kata beliau, pihak Jakim mempu­nyai peluang untuk berhubung sendiri dengan ‘Abdullah’ selepas mereka mendakwa gagal mendapatkan saksi utama berkenaan.

Artikel oleh: Utusan Malaysia

TUBUH RCI SIASAT INTEGRITI JAKIM

https://www.utusan.com.my/nasional/2022/05/tubuh-rci-siasat-integriti-jakim/