Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
TUBUHKAN BADAN KOORDINASI BENCANA – UTUSAN MALAYSIA – 27/12/2021
28 Dec 2021

PETALING JAYA: Banjir luar biasa di Selangor terutama di Hulu Langat dan Taman Sri Muda di Shah Alam pada 18 Disember lalu patut dijadikan iktibar bahawa Malaysia memerlukan badan koordinasi yang bukan setakat mampu mengendalikan bah besar tetapi bencana-bencana lain termasuk kebakaran, tanah runtuh atau kemarau buruk.

Ketiadaan agensi penyelaras antara Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan semua pasukan penyelamat menyebabkan situasi banjir di Sela­ngor kelam-kabut.

Sejak Selasa lalu, seramai 30,000 mangsa terpaksa berpin­dah ke pusat perpindahan sementara (PPS) dan semalam ba­ki­nya 15,000 berada di PPS.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Dekan Fakulti Sains Sosial Gunaan Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza,) Prof. Madya Dr. Mohd Khairul Amri Kamarudin berkata, daripada pengalaman itu, kerajaan wajar ada persediaan bagi berdepan dengan semua jenis bencana selepas ini.

Menurut beliau, kerajaan tidak boleh lagi menunggu bencana berlaku baru mahu bertindak kerana situasi tersebut akan mencetuskan kritikan terhadap agensi-agensi kerajaan terbabit.

“Ketika banjir, Nadma yang ada prosedur operasi standard (SOP) tersendiri sepatutnya mengetepikan segala birokrasi bagi menyelaraskan pengurusan agensi berkuasa lain dalam membantu mangsa-mangsa,” kata beliau ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Menurut beliau, perkara-perkara sebegitu harus diperkemas kerana dalam keadaan cemas sepatutnya tidak perlu ada SOP yang menyusahkan dan mengganggu agensi penguat kuasa daripada mengutamakan keselamatan orang awam.

Selain Selangor, turut dilanda banjir sejak 17 Disember lalu ialah Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Pahang, Terengganu dan Kelantan.

Bencana mengejutkan itu mencetuskan kritikan orang ramai kepada kerajaan yang didakwa lewat bertindak sehingga ramai yang terpaksa mengikat perut dan segelintir lagi menunggu diselamatkan di atas bumbung rumah.

Mengulas lanjut, Dr. Khairul yang juga pensyarah Institut Penyelidikan Alam Sekitar Pantai Timur (ESERI) berkata, semua pihak perlu mengakui ada kelemahan persediaan dan persiapan agensi penguat kuasa di Lembah Klang berbanding di Pantai Timur yang berlaku banjir hampir setiap tahun.

Katanya, ini kerana agensi pelaksana di kawasan yang kerap berdepan bencana mempunyai persiapan dan persediaan yang rapi.

“Persiapan itu mungkin agak kurang di Lembah Klang kerana negeri-negeri tersebut termasuk Selangor tidak menjangkakan paras air naik mendadak kerana keamatan hujan yang sangat tinggi.

“Jika keamatan hujan 60 milimeter (mm) di Lembah Klang sudah dikira lebat apatah lagi 380 mm dalam masa tiga hari itu.

“Jadi keamatan hujan yang tinggi, berlaku pula di kawasan bandar (itu yang menyebabkan banjir) kerana kita tahu penyerapan air bawah tanah yang kurang disebabkan oleh bentuk muka bumi yang bertukar menjadi pembandaran,” jelasnya.

Selain itu, menurut beliau, meskipun negara dilanda banjir hampir setiap tahun, namun kesedaran dari segi latihan menyelamat masih tidak diterapkan terutama di peringkat sekolah.

“Di negara maju, di peringkat sekolah lagi mereka sudah ajar tentang asas latihan bencana-bencana yang ada di negara mereka,” ujarnya.

Senada, Pengerusi Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, musibah yang berlaku bukan sahaja menyedihkan tetapi memperlihatkan bagaimana lemahnya agensi penguat kuasa dalam menguruskan bencana.

Menurut beliau, semua kelemahan berpunca daripada ketiadaan koordinasi sehingga perkara-perkara yang mudah menjadi sukar dan akhirnya mangsa banjir menyuarakan kecewa dengan kerajaan.

“Pusat penyelarasan pun tidak ada, dengar ada masalah koordinasi, politik dan parti. Ini sepatutnya tidak berlaku kerana kepentingan rakyat perlu diutamakan. Keadaan yang teruk tidak patut terjadi kerana kita ada peralatan yang cukup, tetapi apabila tiada penyelarasan, yang mudah itu jadi sukar,” kata beliau

Menurut beliau, kesan ketiadaan koordinasi tersebut rakyat marah manakala barang makanan ada yang busuk.

Oleh itu, Nadzim turut menggesa kerajaan mengkaji semula sebuah agensi yang benar-benar mampu menyelaraskan semua bentuk bencana pada masa akan datang.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani mengesahkan seramai 47 orang menjadi mangsa korban banjir di seluruh negara sehingga dengan lima lagi masih hilang.

Menurut beliau, Selangor kekal dengan 25 mangsa terkorban manakala Pahang seramai 19 mangsa dan di Kelantan tiga mangsa.

“Mangsa di Selangor melibatkan 17 lelaki dan lapan wanita dan di Pahang melibatkan 13 lelaki dan empat wanita serta dua kanak-kanak lelaki,” katanya dalam kenyataan semalam.

Sementara itu, di Kelantan melibatkan dua lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan.

Artikel oleh: Utusan Malaysia

TUBUHKAN BADAN KOORDINASI BENCANA

https://www.utusan.com.my/nasional/2021/12/tubuhkan-badan-koordinasi-bencana/