Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
TURUN HARGA RUMAH PEMILIKAN ASING BOLEH LAKSANA TAPI PERLU HATI-HATI – SINAR HARIAN – 14/10/2019
14 Oct 2019

SHAH ALAM – Pengumuman kerajaan untuk menurunkan nilai ambang bagi kondominium dan pangsapuri di kawasan bandar untuk tujuan pemilikan asing pada tahun depan boleh dilaksanakan asalkan tidak mengabaikan ekonomi untuk rakyat tempatan.

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr Ma’amor Osman berkata, isu yang timbul adalah berkisar daripada kuasa membeli dan kebanyakan kondominium atau pangsapuri bernilai tinggi ini hanya mampu dimiliki oleh kira-kira lima peratus rakyat Malaysia saja.

Beliau berkata, oleh itu dalam keadaan ekonomi sekarang, kerajaan mungkin memikirkan pembeli-pembeli rumah dengan tujuan pelaburan akan berkurangan kerana sebahagian individu membeli rumah untuk melabur dan kemudian jual semula atau sewakan.

Katanya, disebabkan itu kerajaan melihat dengan memberi kelonggaran iaitu menurunkan harga rumah tersebut dan beri pemilikan asing akan dapat menyelesaikan masalah lambakan perumahan yang berlaku dalam negara.

“Apa pun pendekatan yang hendak dilakukan, kerajaan mestilah berwaspada terutamanya dengan para spekulator yang mungkin akan mengambil kesempatan apabila wujud kelonggaran dalam pemilikan hartanah ini.

“Saya harap kerajaan tak beri kelonggaran secara ‘blanket’ tapi perlu ada tapisan seperti kawasan rumah yang hendak dijual termasuk peratusan jumlah rumah yang dibenarkan dijual agar pemilikan hartanah oleh warga asing tidak menjadi spekulator,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Terdahulu, menerusi Belanjawan 2020 kerajaan memberitahu penurunan harga kondominium dan pangsapuri itu daripada RM1 juta kepada RM600,000 akan dilaksanakan tahun depan untuk pemilikan asing, sekaligus sebagai langkah mengurangkan lambakan perumahan yang tidak terjual.

Ma’amor berkata, apabila kerajaan memilih untuk melaksanakan perkara itu, ia juga akan melibatkan isu nilai wang dan rata-rata pembeli umpamanya dari Singapura, nilai wang mereka sudah tentu lebih besar daripada nilai wang negara.

“Saya yakin kalau kita tidak berhati-hati dengan pembeli spekulator, apa yang akan berlaku, harga pembelian kondominium atau hartanah ini tidak akan turun.

“Untuk tempoh jangka panjang, kita akan mengalami kerugian dalam erti kata lain kemampuan untuk membeli ini hanya akan dimiliki mereka (warga asing). Jika harga tak turun, nilai duit kita bertambah kecil, kos sara hidup meningkat, memang rakyat langsung tak boleh membeli rumah,” katanya.

Ma’amor berkata, beliau berharap apabila kerajaan beri kelonggaran untuk jual kepada warga asing pada harga RM600,000, para pemaju perlu mengambil peluang itu dengan sebaiknya.

Menurutnya, duit diperoleh pemaju perumahan perlu dilaburkan semula untuk membangunkan rumah mampu milik dalam negara.

“Sebelum ini, banyak rumah yang siap tapi tak terjual kerana mahal, jadi pemaju tidak ada duit. Bila kerajaan buat macam ini, mereka boleh jual rumah dan duit yang mereka dapat itu boleh digunakan untuk membangunkan projek perumahan mampu milik yang baharu atau rumah untuk golongan pertengahan pada harga RM300,000 ke RM400,000,” katanya.

Menurutnya, ia sekaligus selari dengan hasrat kerajaan untuk menyediakan sejuta rumah kepada rakyat.

Artikel oleh: Sinar Harian

TURUN HARGA RUMAH PEMILIKAN ASING BOLEH LAKSANA TAPI PERLU HATI-HATI

https://www.sinarharian.com.my/article/51961/KHAS/Belanjawan-2020/Turun-harga-rumah-pemilikan-asing-boleh-laksana-tapi-perlu-hati-hati