Kuala Lumpur 14 Jun – Tindakan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menutup semua 134 lorong tambah nilai di lebuh raya kendalinya semperna musim perayaan ini dilihat hanya akan menimbulkan masalah lain kepada pengguna.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, langkah yang diambil tersebut bukan sahaja tidak mampu mengurangkan kesesakan lalu lintas semasa musim perayaan, sebaliknya mendatangkan kesulitan kepada orang ramai.
“Saya sememangnya tidak bersetuju dengan tindakan tersebut dan seharusnya pihak PLUS mencari alternatif lain untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas semasa musim perayaan dengan mewujudkan satu lorong khas bagi tambah nilai.
“Cuba bayangkan sekiranya pengguna jalan raya tidak mencukupi baki semasa perjalanan jauh dan tiada lorong tambah nilai, ini sudah semestinya memberikan masalah kepada pengguna, sekali gus menambahkan lagi kesesakan lalu lintas di sepanjang jalan raya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.