SHAH ALAM – Pemilik restoran bukan Islam yang meletakkan ayat al-Quran bertujuan untuk menarik pelanggan ke premis mereka perlu dikenakan tindakan lebih tegas melalui penguatkuasaan undang-undang sedia ada.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, isu melibatkan premis bukan Islam menyalahgunakan ayat suci al-Quran itu bukan perkara baharu, namun telah kerap dilaporkan berlaku.
Justeru katanya, kerajaan perlu mengubah kaedah penguatkuasaan undang-undang yang lebih tegas supaya orang Islam tidak terus tertipu dengan helah peniaga yang tidak bertanggungjawab itu.
“Kita mahu kerajaan melalui agensi berkaitan mengambil tindakan yang lebih tegas dan serius mengenai perkara ini.
“Jangan lagi guna kaedah beri amaran, tarik sementara lesen perniagaan dan sebagainya, sebaliknya kerajaan perlu ambil tindakan melalui akta penguatkuasaan yang telah diwujudkan.
“Kita tidak mahu perkara sama berulang pada masa akan datang dan pengguna khususnya yang beragama Islam terus tertipu,” katanya kepada Sinar Harian.
Sementara itu, dalam perkembangan sama, Nadzim turut meminta pengguna Islam agar lebih bijak memilih restoran yang tidak meragukan.
“Sebagai orang Islam kita perlu sentiasa mementingkan aspek kebersihan serta kesucian, jadi pilihan restoran yang diusahakan oleh peniaga muslim dan halal,”katanya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengarahkan pemilik sebuah restoran di Shah Alam menurunkan sebarang papan tanda atau hiasan yang mempunyai ayat al-Quran di premis berkenaan.
Terdahulu, pada awalnya tular di media sosial insiden pekerja ditampar oleh pelanggan selepas menegur seorang lelaki yang merokok di dalam premis berkenaan.
Insiden tersebut menyebabkan pemilik restoran membuat laporan polis bagi tujuan menjaga keselamatan pekerjanya.
Namun, hasil laporan polis dibuatnya itu kemudiannya tular dan mendedahkan kepada netizen bahawa restoran berkenaan bukannya dimiliki seorang Muslim.
Artikel Oleh : Sinar Harian
UBAH KAEDAH PENGUATKUASAAN