Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
UM PERLU JAWAB DAKWAAN SYARAT VAKSIN SEBELUM DUDUKI PEPERIKSAAN, KATA BEKAS MENTERI – FREE MALAYSIA TODAY – 15/06/2021
16 Jun 2021

PETALING JAYA: Universiti Malaya (UM) perlu menjawab sama ada ia berhak meletakkan syarat kepada penuntut supaya mendapatkan vaksin Covid-19 terlebih dahulu sebelum menduduki peperiksaan kelayakan, kata Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching.

Beliau mengulas dakwaan seorang penuntut jurusan perubatan universiti itu yang dilarang menduduki peperiksaan kelayakan kerana belum mendapatkan vaksin Covid-19.

Selain itu, bekas timbalan menteri pendidikan berkata, jika syarat berkenaan diwartakan kepada semua pelajar, UM perlu menjelaskan bila ia dimaklumkan dan mengapa pelajar terbabit masih tidak menerima suntikan vaksin sebelum tarikh peperiksaan walaupun sudah bersetuju.

“Laporan siasatan UM perlu menjawab tiga persoalan ini,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, status UM yang mempunyai pusat pemberian vaksin (PPV) sendiri sepatutnya memudahkan pihak pengurusan universiti mengaturkan pemberian vaksin kepada pelajar mereka.

“UM merupakan PPV, jadi sepatutnya tidak susah untuk aturkan pemberian vaksin untuk pelajar mereka,” katanya.

Terdahulu, UM dalam kenyataan berkata pihaknya memandang serius dakwaan itu dan sedang menelitinya secara terperinci.

Pihaknya juga terbuka untuk bekerjasama dengan semua pihak demi menyelesaikan perkara itu.

Ketika dihubungi FMT mengenai dakwaan syarat vaksin yang dikenakan terhadap penuntutnya, jurucakap UM berkata, pihaknya tidak boleh memaklumkan perkara itu dan menjelaskan sebarang dakwaan sedang disiasat.

“Pihak universiti akan keluarkan kenyataan selanjutnya dalam tempoh terdekat,” katanya ringkas.

Penuntut wanita berusia 22 tahun itu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields semalam dengan ditemani Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Nadzim Johan.

Nadzim berkata, pihaknya menuntut pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh berhubung dakwaan itu.

“Tindakan (syarat) ini tidak adil bagi pelajar terbabit kerana dia sudah pun bersetuju untuk dapatkan vaksin tetapi tarikh yang beliau terima untuk divaksin pada Jumaat (11 Jun) tetapi peperiksaan itu berjalan pada Khamis (10 Jun) menyebabkan beliau terlepas dua kertas peperiksaan,” katanya kepada FMT.

“Kita tak boleh tunjuk cara yang tidak betul kepada anak muda kita. Pihak universiti perlu terbuka sedikit dan tidak perlu ada keadaan yang menekan atau memaksa,” katanya.

Artikel oleh: Free Malaysia Today

UM PERLU JAWAB DAKWAAN SYARAT VAKSIN SEBELUM DUDUKI PEPERIKSAAN, KATA BEKAS MENTERI

https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/06/15/um-perlu-jawab-dakwaan-syarat-vaksin-sebelum-duduki-peperiksaan-kata-bekas-menteri/