Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
UMAT ISLAM PERLU BEKERJASAMA HENTIKAN BERCAKARAN DEMI KUASA – KENYATAAN MEDIA PPIM – 12/10/2022
12 Oct 2022

KUALA LUMPUR: Perkembangan politik negara kini membimbangkan semua pihak terutama rakyat.

Ditambah dengan kenyataan oleh Istana Negara baru-baru ini yang memaklumkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah menzahirkan rasa kecewa dengan keadaan politik semasa telah menjentik hati rakyat negara ini.

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) secara konsisten menegaskan pertubuhan ini tidak menyebelahi mana-mana pihak dalam arena politik negara.

Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan@toqqi berkata PPIM berkongsi kegusaran rakyat yang bimbang dengan masa depan serta maruah negara jika kepimpinan negara jatuh ke tangan pihak tidak sepatutnya akibat daripada percakaran ahli politik beragama Islam.

“Jika kita mahu berjaya, mahu kekal menjadi pentadbir di negara yang bertuah penuh barokah ini, kita sebagai umat Islam harus bersatu, tidak ada jalan lain,” tegasnya.

Nadzim menyambut baik saranan PAS yang mahu penyatuan ummah menjadi realiti apabila kuasa besar negara ini bersama-sama berjuang dalam arena politik.

“Kami di PPIM amat bersetuju jika kuasa besar orang melayu, orang Islam bergabung dan kembali memerintah negara kita,

“Sejarah membuktikan umat Islam negara ini tidak pernah mengenepikan hak bukan Islam malah kebebasan beragama, berniaga dan hidup aman damai bersama di Malaysia antara perkara yang amat kita banggakan di rantau ini.

Tidak ada pemimpin negara lain boleh menyatupadukan rakyat pelbagai agama berbilang kaum seperti yang kita lakukan di negara ini,” katanya.

Nadzim berkata PPIM sentiasa menyokong usaha mana-mana pihak yang mahu bekerjasama dan menolak kerakusan mengejar kuasa dan tamak.

“PPIM akan menyatakan sokongan dari masa ke semasa kepada calon tertentu yang dilihat mampu membawa isu rakyat dan tidak mementingkan diri,

“Lihatlah negara kita kini, apa nasib rakyat jika pemimpin di atas sana terus bercakaran dan mencari kesalahan serta kelemahan sesama mereka, apa salahnya mereka bergabung dan berganding bahu menggunakan kelebihan masing-masing demi masa depan negara yang lebih baik,” katanya. Nadzim berkata situasi politik negara kini tidak sedikitpun membantu masalah dihadapi rakyat seperti krisis ekonomi, kesukaran mendapat pekerjaan, ditekan oleh pemimpin zalim dan diselebungi rasa takut kehilangan negara sendiri.