Bukan sahaja bebas dan tidak terikat, malah menurut pengembara umrah DIY yang tidak mahu dikenali itu, jemaah boleh membuat pilihan sendiri pakej dan perkhidmatan sepanjang perjalanan serta ketika berada di Tanah Suci mengikut bajet masing-masing.
“Kami pula tempah hotel di pekarangan masjid. Harga bergantung kepada bajet masing-masing. Mungkin harga umrah DIY lebih murah atau tidak jauh beza berbanding harga pakej mengikut agensi umrah dan pelancongan, tetapi semuanya atas kawalan kita sendiri,” katanya.
Sudah tentu setiap umat Islam mengimpikan untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci. Namun, tidak dinafikan ibadah yang lazimnya mengambil masa sekurang-kurangnya seminggu itu memerlukan perbelanjaan tinggi.
Bagi individu berkemampuan, mungkin tidak memandangnya sebagai masalah, namun kepada golongan pendapatan rendah dan sederhana, mereka perlu mengumpulkan dana hingga belasan tahun untuk menyempurnakan ibadah Rukun Islam kelima tersebut.
Justeru, timbul pelbagai cara untuk melaksanakan ibadah itu dengan kos minimum, antaranya umrah yang diuruskan sendiri tanpa membabitkan mana-mana agensi pelancongan atau dikenali sebagai umrah DIY.
Mengulas trend tersebut, Ketua Biro Kawal Selia Umrah, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Abd. Halim Ikhsan ketika ditemui Mega Mimbar baru-baru ini menasihatkan agar umat Islam membatalkan niat dan tidak terpengaruh dengan kaedah tersebut.
Beliau yang juga Ahli Majlis Kawal Selia Umrah Kementerian Pelancongan berkata, ini kerana umrah DIY yang dikendalikan sendiri oleh individu bermula dari tempahan penerbangan, visa, penginapan dan pengurusan di Tanah Suci itu disifatkan seperti mempertaruh nyawa.
Sedangkan tambahnya, Islam telah menetapkan syarat kemampuan bagi individu yang ingin menunaikan umrah atau haji begitu juga keutamaan memelihara nyawa dan keturunan sebagaimana digariskan dalam maqasid syariah.
“Benar, harganya mungkin lebih murah tetapi jemaah perlu tahu, masalah-masalah kecemasan yang akan timbul atau berlaku sepanjang melaksanakan ibadah tersebut sama ada ketika perjalanan atau di Tanah Suci seperti kemalangan, rompakan, penculikan penyakit dan sebagainya. Ini hanya membahayakan diri sendiri.
“Apatah lagi budaya, bahasa malah undang-undang kita berbeza dengan negara lain. Jika mengambil pakej melalui agensi berdaftar yang sah, segala permasalahan itu boleh dibantu atau sekurang-kurangnya ada tempat rujuk iaitu kepada mutawif atau ketua rombongan itu.
“Akhirnya apabila berlaku masalah dan tiada orang membantu, sudah tentu tidak lain tidak bukan kerajaan dipertanggungjawab serta dipersalah kerana dikatakan membiarkan rakyat begitu sahaja di negara asing,” katanya.
Bukan menghalang secara total kaedah tersebut, namun beliau berkata, jika terdapat garis panduan atau akta khas yang diwartakan oleh kerajaan menerusi Kementerian Pelancongan, maka pihaknya turut menyokong keputusan tersebut.
“Setakat ini kerajaan belum membenarkan umrah DIY ini kerana berisiko. Kementerian juga sudah mengkaji impak kepada kaedah ini dan dilihat lebih memberi mudarat kepada jemaah tersebut. Bukan kita mahu mempromosi atau mengayakan agensi umrah dan pelancongan negara ini, tetapi apa yang perlu diutamakan adalah faktor keselamatan. Lebih-lebih lagi trend membawa keluarga, bagaimana jika berlaku penculikan, siapa hendak bertanggungjawab?” tegasnya.
Dalami ilmu, banyak membaca dan bertanya kepada individu diyakini.
“Bagi mana-mana agensi yang ingin melakukan perbuatan itu atau berniat mengambil keuntungan dengan memperdaya bakal jemaah umrah dan haji supaya melupakan hasrat tersebut,” kata Abd. Halim.
“Kerana PPIM menerima banyak aduan berkaitan kes penipuan umrah sebelum ini, kita mengambil langkah untuk mewujudkan satu badan khas bagi mengawal kes berkaitan umrah dan haji yang dinamakan Biro Kawal Selia Umrah yang ditubuhkan pada awal tahun ini.
“Biro ini bukan sahaja untuk menangani kes berkenaan penipuan umrah tetapi juga berkaitan dengan Tanah Suci seperti pelaburan di Mekah dan aduan ketidakpuasan hati jemaah berhubung perkhidmatan penginapan serta kemudahan ditawarkan oleh ejen-ejen.
“Sebagai contoh, perkhidmatan ditawarkan berbeza berbanding harga pakej diambil seperti jarak hotel berbeza, sajian makanan kurang daripada yang ditetapkan, pengangkutan tidak disediakan seperti mana dijanjikan dan sebagainya,” katanya.
Oleh itu menurutnya, PPIM menerusi Biro Kawal Selia Umrah bekerjasama membantu kerajaan dalam mengambil tindakan tegas terhadap agensi umrah dan pelancongan yang cuba melakukan penipuan.
“Kita faham dengan situasi yang berlaku, tidak semua ejen perkhidmatan umrah yang pernah terkandas ini berniat untuk menipu. Mungkin kerana mereka juga menjadi mangsa keadaan atau masalah teknikal tidak dijangka berlaku.
“Namun, seboleh-bolehnya setiap agensi umrah perlu menguruskan perkhidmatan masing-masing dengan baik dan sistematik, ingatlah bahawa perkhidmatan yang anda tawarkan adalah membawa umat Islam sempurnakan ibadah,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan jemaah umrah supaya berhati-hati dalam memilih pakej umrah supaya tidak menjadi mangsa penipuan dan diperdaya agensi tidak bertanggungjawab.
“Pastikan agensi yang ingin kita pilih itu benar-benar dipercayai dan mempunyai rekod yang baik. Tidak perlu syarikat besar atau terkemuka, asalkan dapat memberikan perkhidmatan terbaik,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Abd. Halim mengingatkan kepada agensi umrah dan pelancongan agar tidak mengambil kesempatan dengan memanipulasi atau memperdaya jemaah umrah kononnya menawarkan pakej murah.
“Pada tahun ini sahaja kita mendapat aduan lebih 2,000 jemaah umrah tertipu termasuk 108 jemaah haji. Ramai dalam kalangan mereka adalah orang kampung dan berusia lanjut. Faktornya, kita dapati golongan ini lazimnya tiada pendedahan dan mudah terperdaya dengan tawaran pakej umrah murah.
“Sehinggakan ada mangsa yang terpedaya membelanjakan keseluruhan baki wang pinjaman dengan melibatkan kerugian kira-kira RM30,000.
“Modus operandi ejen penipuan ini biasanya sama, mereka datang di sesuatu lokasi memberi taklimat, mempromosikan kelebihan pakej murah yang ditawarkan dengan meyakinkan orang ramai bahawa mereka mendapat tajaan daripada seseorang individu bergelar datuk atau ahli perniagaan,” jelasnya.
Namun tambahnya, selepas ramai jemaah mengambil bahagian lalu membayar wang pendahuluan dan penyertaan, ejen itu menghilangkan diri atau yang kerap berlaku jemaah terkandas di lapangan terbang apabila tiba masa untuk berangkat.
“Mereka juga mengadakan kursus, memberi kitab rujukan umrah dan barangan keperluan lain kepada jemaah yang mengikuti pakej mereka. Ini membuatkan ramai orang awam terpedaya.
“Mengikut pemerhatian kita, difahamkan agensi seperti ini membuat kitaran daripada bayaran jemaah yang ada. Mungkin kumpulan pertama dan kedua berjaya pergi dan balik, namun bagi kumpulan seterusnya, kitaran modal tidak mencukupi, maka berlakulah kes terkandas,” katanya.