Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
USAH BAZIR! – SOLUSI – 27/4/19
27 Apr 2019

1 2 3

Islam itu suatu agama yang cukup dan lengkap segala-galanya dalam segala aspek kehidupan. Tetapi malangnya, kita sendiri tidak mengikut ajaran yang dibawa.

Apabila ditanya, kenapa umat Islam sekarang lemah, jawapannya mudah sahaja. Kita lemah disebabkan tidak mengikut ajaran Islam. Malah hampir semua aspek kita tinggalkan Islam. Contohnya, Islam ajar supaya menepati masa, kita lewat. Disuruh bercakap benar, kita bohong. Apabila diberi rezeki, kita tak menghargai, malah membazir pula.

Segala ajaran Islam kita tinggalkan!

Begitu juga soal makanan. Apabila ada makanan yang banyak, kita bedal sampai tidak ingat dunia. Habis punahranah. Jadi tidak hairanlah kalau berlakunya pembaziran makanan pada bulan Ramadan ini kerana kita tidak pernah fikir tentang orang lain yang tiada makanan untuk berpuasa. Lihatlah saudara kita di negara bergolak sana, makan belum tentu ada, inikan pula nak membazir.

Saya dapat maklumat daripada bahagian yang menguruskan sisa bahan buangan, katanya pada bulan puasa ini, sampah di kawasan penduduk orang Melayu sahaja adalah tujuh kali ganda lebih banyak berbanding bulan-bulan yang lain.

Makanan apa yang dibuang begitu banyak?

Di sesetengah hotel, penyediaan bufet Ramadan dengan harga yang tidak terjangkau dek akal, namun sangat mendapat sambutan. Lambakan aneka makanan untuk berbuka puasa, ditambah pula pencuci mulut, sebenarnya sungguh keterlaluan.

Bagi saya, hal ini sangat menyedihkan. Bahkan pembaziran mudah berlaku kerana polisi makan di hotel, apabila terdapat lebihan makanan, kita tidak dibenarkan membawa pulang. Sebaliknya makanan tersebut dibuang begitu sahaja.

 

Lebih menyedihkan lagi, ada juga makanan yang masih elok tidak disentuh dan masih berbungkus turut dibuang begitu sahaja.