KUALA LUMPUR : Isu kemanusiaan yang semakin mendapat perhatian perlukan suara lebih lantang dan tegas.
Selain itu, usaha menegakkan keadilan dan hak kemanusiaan perlu disusuli dengan tindakan yang berkesan.
Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mengajak semua wakil dari NGO-NGO yang prihatin dengan isu kemanusiaan dan keadilan, untuk turut serta dalam usaha NGO itu menyusun strategi melawan ketidakadilan dan menegakkan isu hak kemanusiaan.
Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan@toqqi berkata pelbagai program dalam isu hak kemanusiaan telah dibuat pelbagai pihak namun usaha itu dipandang dingin oleh pihak berwajib.
“Kita (NGO) perlu bersama-sama mengutamakan isu kemanusiaan dan bergerak secara kumpulan yang besar supaya suara semua rakyat akan didengari tanpa mengira kaum dan agama.
“Isu kemanusiaan adalah masalah utama dunia kini yang melangkaui sempadan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
PPIM mencadangkan gabungan NGO seluruh dunia mewujudkan satu Task Force untuk menyelaras usaha Boikot Anti Kemanusiaan.
“Sebuah jawatankuasa perlu membincangkan pembentukan Task Force khas untuk melibatkan NGO-NGO dalam memantau dan melapor aktiviti-aktiviti yang bercanggah dengan prinsip kemanusiaan,” katanya.
Dalam usaha warga dunia memboikot produk syarikat yang mengamalkan sikap anti- kemanusiaan, PPIM mencadangkan satu strategi boikot dirangka terhadap produk-produk yang terlibat dengan tujuan menekankan keadilan dan hak asasi manusia.
Menurut Nadzim walaupun dipandang sinis sesetengah pihak, usaha boikot ini harus diteruskan di peringkat dunia dan perlu dijadikan satu amalan baharu bagi memperjuangkan hak asasi manusia dan mengetengahkan kuasa pengguna yang sebenar.