Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
UTUSAN PERLU DIURUS GOLONGAN PROFESSIONAL, BUKAN POLITIK – PPIM – MALAYSIA GAZETTE – 23/08/2019
26 Aug 2019

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) hari ini melancarkan kempen membeli surat khabar Utusan Malaysia dan Kosmo sebagai usaha membantu meringankan beban kakitangan Utusan Melayu (M) Berhad.

Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata, masyarakat wajar membelinya setiap hari kerana surat khabar berkenaan mempunyai peranan memperjuangkan agenda Melayu, selain menyatukan perpaduan ummah.

“Tidak rugi kita berbelanja RM3.50 sehari iaitu RM2 Utusan Malaysia dan RM1.50 akhbar Kosmo kerana pengisiannya mencakupi pelbagai pengetahuan termasuk agama, pendidikan, ekonomi, isu semasa dan politik.

“Kita simpati dengan nasib yang menimpa rakan media kita di Utusan Melayu (M) Berhad. Mereka mempunyai keluarga untuk disara dan beban mereka dapat diringankan oleh kita dengan membeli akhbar berkenaan setiap hari,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media pada majlis melancarkan kempen sokong Utusan Malaysia dan Kosmo di kediamannya di sini, hari ini.

Turut hadir wakil institusi kewangan CIMB Bank dan aktivis NGO untuk memberi sokongan dan simbolik membeli surat khabar Utusan Malaysia serta Kosmo.

Lebih RM2,000 berjaya dikumpul menerusi kempen membeli surat khabar berkenaan dengan Nadzim turut menyumbangkan sebanyak RM500.

Menurut Ketua Aktivis itu, walaupun sumbangan yang dilancarkannya pagi ini tidak banyak, tetapi sekurang-kurangnya ia sebagai permulaan pihaknya, sebelum diteruskan masyarakat luar melibatkan NGOs, ahli perniagaan dan orang perseorangan.

“Walaupun tak banyak, tapi usaha ini dapat memberikan semangat kepada seluruh kakitangan syarikat Utusan Melayu itu.

Beliau berkata, Utusan Melayu boleh meneruskan perjuangannya dengan lebih pada masa akan datang sekiranya mempunyai pengurusan yang betul-betul professional, bukan ditadbir orang politik.

“Saya harap dalam Utusan ini (pengurusannya) orang yang professional dalam bidang penyiaran dan kewartawanan, bukan politik,” katanya. – MalaysiaGazette

Artikel oleh: Malaysia Gazette

UTUSAN PERLU DIURUS GOLONGAN PROFESSIONAL, BUKAN POLITIK – PPIM

https://malaysiagazette.com/blog/2019/08/23/utusan-perlu-diurus-golongan-professional-bukan-politik-ppim/