SHAH ALAM – Pertubuhan Ikatan Wanita Antarabangsa bagi Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (Wafiq) menerima banyak aduan daripada pekerja swasta terutama sektor perhotelan yang mendakwa mereka dilarang untuk memakai hijab ketika bekerja.
Exco Belia dan Media Wafiq, Nur Farihah Meor Mazli berkata, sejak akhir 2017 hingga awal 2018, aduan berkaitan larangan itu banyak diterima apabila pengadu mendakwa larangan itu termaktub dalam polisi hotel.
“Hotel-hotel ini telah kenakan polisi tidak boleh memakai tudung ketika bekerja, baik yang bekerja di bahagian pentadbiran mahupun yang duduk di kaunter hadapan hotel.
“Jadi bila kita lihat adik dan kakak kita serta ada juga pelajar yang memohon menjalani latihan industri di hotel mengadu mereka dikenakan syarat tidak boleh memakai hijab, maka kita rasa ia amat bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang sedia ada.
“Larangan itu juga jelas satu bentuk diskriminasi, sedangkan dalam Perlembagaan Persekutuan telah ada peruntukan tidak boleh ada diskriminasi terhadap agama dan juga pekerjaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Wacana Sinar ke-119 membawakan tajuk ‘Diskriminasi Agama Masih Berlaku?’ di Studio C, Kompleks Media Karangkraf di sini hari ini.
Dalam pada itu, Nur Farihah berkata, Wafiq yang ditubuhkan membela isu-isu berkaitan wanita, kekeluargaan dan pendidikan telah membawa isu larangan itu ke peringkat lebih tinggi.
“Kami melakukan pertemuan dengan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).
“Kami juga melakukan pertemuan dengan pihak Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof mengenai hal tersebut,” katanya.
Nur Farihah berkata, hasilnya pada Mac lalu, pihak hotel yang terlibat telah menarik balik polisi tersebut dan membenarkan pekerja mereka mengenakan hijab ketika bekerja.
“Alhamdulillah setelah usaha Wafiq bertemu sendiri pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak menteri, akhirnya kami terima berita baik pada Mac lalu di mana pihak hotel membuang polisi larangan berhijab itu.
“Maka pada pandangan kami, segala solusi setiap isu boleh segera diselesaikan jika ada kerjasama antara kerajaan, pihak swasta dan NGO,” katanya.
Artikel oleh: Sinar Harian
WAFIQ TERIMA BANYAK ADUAN PEKERJA DILARANG BERHIJAB