Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
WAKIL PENCARUM SERAH MEMORANDUM TUNTUT PENGELUARAN TERAKHIR RM10,000 KWSP – SUMBERKINI – 14/03/2022
15 Mar 2022

KUALA LUMPUR: Kumpulan wakil pencarum yang menuntut pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) RM10,000 secara one-off atau sekali bayar menyerahkan memorandum itu di Parlimen pada Isnin.

Menurut wakilnya, Mohammad Farhan Jailani, memorandum sepatutnya diserahkan kepada tiga pemimpin iaitu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Bagaimanapun, jelas Mohamad Farhan, hanya wakil Tengku Zafrul sahaja hadir menerima memorandum terbabit, lapor Astro Awani.

“Berdirinya kami di sini rakan-rakan pencarum untuk menyerahkan memorandum tuntutan pengeluaran kali terakhir KWSP sebanyak RM10,000 secara one-off kepada tiga wakil.

“Kedua, kami menuntut sokongan semua Ahli Parlimen untuk suara rakyat didengari, disampaikan dan dibahaskan di Parlimen Malaysia.

“Ketiga, kami mendesak Perdana Menteri Malaysia meluluskan tuntutan pengeluaran kami ini,” jelas Mohamad Farhan ketika ditemui pemberita di hadapan bangunan Parlimen.

Tegasnya, pencarum mempunyai hak untuk menuntut pengeluaran wang simpanan itu mengikut Akta KWSP 1991.

“Kami dengan tegasnya sebagai pencarum KWSP yang terkesan ingin menuntut hak kami menurut Akta KWSP 1991 Seksyen 54.

“Kami sekali lagi menegaskan kami tidak akan sesekali berhenti sehinggalah wang tersebut berada dalam akaun kami.

“Kami juga mengingatkan semua Ahli Parlimen yang dilantik menerusi proses undang-undang yang sah, dan juga sedang berada di dalam dewan ini supaya berkhidmat untuk rakyat.

“Dengar keluhan rakyat yang telah mengundi mereka di pilihan raya.

“Kami juga telah menghantar emel kepada semua Ahli Parlimen yang berada di dalam Dewan Rakyat termasuk Perdana Menteri sebagai Ahli Parlimen Bera, dan Tan Sri Muhyiddin sebagai Ahli Parlimen Pagoh,” katanya lagi.

Dalam pada itu, wakil Persatuan Pengguna Islam malaysia (PPIM), Gulab Jan Fazal Eladi pula kecewa apabila sambutan diberikan sesetengah Ahli Parlimen dilihat hambar.

Jelasnya, isu pengeluaran wang KWSP itu seharusnya diberikan perhatian, kerana ia dituntut oleh rakyat yang amat memerlukan sumber kewangan.

“Saya kecewa, kami nak hantar memorandum kepada PM dan Tan Sri Muhyiddin, tiada wakil datang mengambil. Kami dapat maklumat mereka ada urusan.

“Saya mengharap sangat mereka peka perkara ini kerana mereka naik pun kerana rakyat,” katanya.

Sehingga kini, 18 Ahli Parlimen telah menyatakan sokongan terhadap tuntutan kumpulan tersebut.

Antaranya, Ahli Parlimen Pasir Mas, Bagan, Port Dickson, Baling, Hulu Langat, Jempol, Tuaran, Kinabatangan, Machang, Kapar, Gopeng, Kuala Langat, Padang Serai, Parit, Lanang, Setiu, Bagan Datok dan Pontian.

Artikel oleh: Sumberkini

WAKIL PENCARUM SERAH MEMORANDUM TUNTUT PENGELUARAN TERAKHIR RM10,000 KWSP

https://sumberkini.my/wakil-pencarum-serah-memorandum-tuntut-pengeluaran-terakhir-rm10000-kwsp/