SHAH ALAM – Kerajaan digesa untuk segera mewujudkan akta halal bagi membolehkan tindakan kawal selia industri halal dapat diseragamkan dengan komprehensif.
Ketua Aktivis, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, langkah ini perlu dilaksanakan bagi menambah baik akta sedia ada yang terpisah mengikut kementerian atau agensi.
“Apa yang berlaku hari ini merupakan satu manifestasi (kelompongan) yang kita tidak nampak. Tapi ia membuktikan ada sesuatu yang tidak kena (dalam industri halal).
“Cabaran yang kita lalui ini cukup besar di mana ia memperlihatkan kelemahan.
“Jadi, kita minta sesuatu dilakukan oleh pembuat undang-undang supaya zahirkan kebimbangan yang berlaku hari ini dengan mewujudkan akta halal,” katanya pada Wacana Sinar Harian edisi ke-220 bertajuk Isu Kartel Daging Import: Korupsi Sampai Jejas Halal? di Kumpulan Karangkraf di sini pada Selasa.
Menurutnya, ketika ini merupakan tempoh terbaik untuk mewujudkan akta tersebut supaya tidak berlaku kekeliruan dalam mengambil tindakan memandangkan akta yang terpisah mengikut kementerian dan agensi.
Sementara itu, dalam perkembangan sama, beliau turut menggesa supaya penguat kuasa berkaitan membuat serbuan ke atas kilang atau tempat simpanan daging import bagi mengenal pasti mana yang halal atau sebaliknya.
Katanya, langkah itu perlu dilakukan bagi mengatasi keresahan yang sedang dialami rakyat khususnya orang Islam ketika ini susulan pendedahan mengejut yang dibuat baru-baru ini.
Artikel oleh: Sinar Harian
WUJUDKAN SEGERA AKTA HALAL