KUALA LUMPUR, 29 Jun (Bernama) — Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) bagi menyediakan 647 hektar tanah di Bukit Tasik Serendah, Selangor untuk aktiviti pertanian dan penternakan.
Pengerusi YBK Datuk Zainal Abidin Sakom berkata ia bertujuan mengatasi isu jaminan makanan sekali gus pencetus kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang lain menyambut saranan kerajaan untuk menjalankan tanaman sendiri.
“Buat masa ini, kami sedang melakukan aktiviti pembangunan di bahagian hadapan kawasan tersebut yang hanya melibatkan 32 hingga 40 hektar. Jadi, baki 607 hektar boleh diisi oleh mana-mana pihak sementara menunggu pembangunan siap sepenuhnya,” katanya kepada pemberita pada majlis menandatangani MoU berkenaan di sini hari ini.
MoU itu ditandatangani Zainal Abidin dan Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan.
Zainal Abidin berkata mereka telah membuka pendaftaran namun akan menilai terlebih dahulu aktiviti yang dicadangkan.
“Sekiranya aktiviti itu sesuai untuk dibangunkan, maka kami (YBK dan PPIM) akan bincang sama ada mereka hendak sertai secara usaha sama ataupun perkongsian untung,” katanya.
Artikel oleh: Bernama
YBK, PPIM SEDIAKAN 647 HEKTAR TANAH BAGI AKTIVITI PERTANIAN DAN PENTERNAKAN