Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
YBK SASAR BANTU 200 KELUARGA MENERUSI SKR – SINAR HARIAN – 31/03/2022
01 Apr 2022

PETALING JAYA – Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) menyasarkan 200 keluarga atau kira-kira 1,000 ahli isi rumah terpilih dalam program Sinar Kasih Ramadan (SKR) tahun ini.

Pengerusi YBK, Datuk Zainal Abidin Sakom berkata, program yang dijalankan setiap bulan Ramadan itu memasuki edisi tahun ke-14 dengan keseluruhan seramai 3,421 keluarga di seluruh negara telah dibantu sejak ia dimulakan pada tahun 2002.

Menurutnya, tahun ini YBK akan bekerjasama dengan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) serta beberapa rakan strategik lain untuk menyampaikan sumbangan kotak Infaq Rezeki berupa barang keperluan asas makanan, selain wang tunai RM600 bagi setiap keluarga yang terpilih.

“Melalui program ini, kita cuba memberi sinar kepada orang-orang yang sangat memerlukan bantuan, tanda kasih masyarakat, umat Islam kepada mereka yang kurang bernasib baik.

“Kita juga akan cuba berikan mereka bantuan wang tunai sebanyak RM600 untuk membeli makanan sahur dan berbuka,” katanya.

Beliau berkata, falsafah program SKR mempunyai peranan serampang dua mata iaitu sebagai laman amal atau platform kepada dermawan tidak kira sama individu, institusi atau korporat untuk menyumbang tanpa keraguan selain memupuk semangat persaudaraan dan saling peduli dalam kalangan masyarakat.

“Infak sedekah yang diserahkan kepada YBK ini akan diagihkan kepada keluarga termiskin berdasarkan keperluan Pendapatan Garis Kemiskinan (makanan) atau RM600 untuk satu keluarga yang mempunyai lima orang isi rumah.

“Pengagihan sumbangan ini akan dilaksanakan bermula 1 April di mana jawatankuasa pemilihan khas telah menyenarai pendek dan memilih keluarga yang layak untuk menerima sumbangan mengikut kriteria ditetapkan,” katanya ketika ditemui selepas perasmian Program Sinar Kasih Ramadan 2022 di Yayasan Basmi Kemiskinan di sini pada Khamis.

Turut hadir, Pengerusi Program SKR, Datin Hartini Osman, Ketua Operasi Unit Kebajikan PPIM, Siti Khadijah Hassan Berseri serta beberapa tetamu kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Zainal Abidin berkata, data peserta yang terpilih dalam program tersebut diterima daripada ketua masyarakat, sekolah, sukarelawan atau individu serta organisasi yang mempunyai maklumat keluarga miskin di kawasan masing-masing.

Selain itu katanya, anak ahli keluarga yang terpilih juga ditawarkan bantuan kemasukan ke asrama.

“Melalui usaha yang dilaksanakan ini kita berharap dapat membuka mata lebih ramai masyarakat Islam khususnya untuk menderma,” katanya lagi.

Artikel oleh: Sinar Harian

YBK SASAR BANTU 200 KELUARGA MENERUSI SKR

https://www.sinarharian.com.my/article/195701/EDISI/YBK-sasar-bantu-200-keluarga-menerusi-SKR