Setiap kali tiba musim peperiksaan awam maka akan heboh
mengenai soalan bocor. Ada kalanya, soalan bocor itu hanya soalan ramalan yang
begitu mirip soalan sebenar. Namun, ada juga yang mendakwa soalan bocor itu
sama dengan soalan sebenar sehingga ke nombornya. Sama ada benar atau tidak,
dakwaan berlaku kebocoran soalan adalah perkara yang berkepentingan awam. Bagi
pelajar yang akan menduduki peperiksaan berkenaan, ia satu bonus untuk mereka
lulus subjek terbabit lebih baik. Bagi Kementerian Pendidikan pula, ia menjadi
igauan kerana kerahsiaan kertas soalan sudah dikhianati individu tertentu. Kali
ini, ketika ribuan pelajar sekolah menengah di seluruh negara menduduki
peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), kecoh diperkatakan kebocoran kertas
soalan Matematik dan Matematik Tambahan. Malah, Persatuan Pengguna Islam
Malaysia (PPIM) yang menerima maklumat berkenaan daripada orang ramai, sudah
membuat aduan kepada Kementerian Pendidikan selain laporan polis.
Justeru, amat wajar Kementerian Pendidikan menyiasat segala
aduan yang dikemukakan bagi menentukan kesahihannya. Jika benar berlaku
kebocoran kertas soalan subjek berkenaan, ia harus berusaha mengenal pasti
siapa yang membocorkan kertas soalan itu dan mengambil tindakan sewajarnya
seperti diperuntukkan undang-undang. Mereka terbabit perlu dikenakan tindakan
tegas kerana perbuatan sedemikian adalah jenayah pecah amanah yang serius.
Kementerian Pendidikan juga perlu mengambil langkah pembetulan atau pencegahan
supaya perkara sama tidak berulang. Penyelesaian tuntas perlu dicari supaya
mutu dan kewibawaan peperiksaan awam negara tidak terjejas sehingga
dipertikaikan pihak luar. Kebocoran sebarang kertas soalan peperiksaan awam
bukan saja menyebabkan ketidakadilan kepada pelajar yang tidak menerimanya
tetapi juga memesongkan tahap sebenar pencapaian calon peperiksaan itu.
Kementerian Pendidikan juga perlu memikirkan kewajaran untuk peperiksaan subjek
berkenaan diadakan semula jika terbukti berlaku kebocoran soalan. Pelajar sudah
cukup tertekan dengan persediaan menghadapi SPM dan jika terpaksa menduduki
semula peperiksaan, ramai yang mungkin tidak mampu menjawab dengan baik seperti
sebelum ini. Kita berharap calon SPM kali ini tidak ‘dihukum’ kerana perbuatan
sebilangan pegawai dan kakitangan awam yang tidak amanah.