Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
1058) UTUSAN MALAYSIA 24/12/2013 KOS AMAH IKUT PASARAN MELAMPAU
26 Dec 2013

KUALA LUMPUR 24 Dis. – Cadangan penetapan kos pengambilan
pembantu rumah dari Indonesia mengikut harga pasaran iaitu dalam lingkungan
RM10,000 hingga RM11,000 seorang, dianggap sebagai kenaikan yang melampau.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM),
Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya bimbang harga pembantu rumah mengikut
pasaran akan dikawal oleh pihak-pihak tertentu yang mahu memanipulasi dan
mengaut keuntungan semata-mata.
“Pada ketika ini, kos harga yang telah ditetapkan untuk
pembantu rumah Indonesia sudah tinggi, jadi dikhuatiri jika ia mengikut harga
pasaran, kami bimbang harga tersebut akan dikuasai oleh pihak tertentu yang
ingin untung.
“Malah, jika pembantu rumah Indonesia kurang berminat
untuk bekerja di sini, kita juga boleh mengambil jalan alternatif lain dengan
mempelawa kemasukan pembantu rumah dari Kemboja atau negara lain yang
menawarkan kos yang rendah dan berpatutan,” katanya ketika dihubungi
Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas cadangan Presiden Pertubuhan Kebangsaan
Agensi Pekerjaan Malaysia (Pikap), Datuk Raja Zulkepley Dahalan yang mahu kos
pengambilan pembantu rumah asing dari Indonesia ditentukan oleh harga pasaran.
Raja Zulkepley menyifatkan kos baharu pengambilan pembantu
rumah dari negara itu yang ditetapkan pada RM7,800 September lalu masih tidak
dapat menarik kehadiran mereka ke negara ini dan merugikan agensi pekerja
asing.
Katanya, berdasarkan Indonesia Recruitment Agency (IRA),
bayaran untuk biodata pembantu rumah Indonesia sahaja RM6,500 hingga RM8,000,
belum lagi kos seperti bayaran untuk levi, pemeriksaan perubatan, bayaran
pendahuluan dan kos pengangkutan.
Dalam pada itu, Ketua Pengarah Komunikasi Gabungan
Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd. Yusof Abdul Rahman
berpendapat, kerajaan perlu campur tangan berikutan perkara itu dilihat
membebankan agensi pekerja asing dan pengguna.
Katanya, satu penetapan bayaran yang tetap dan terkawal amat
perlu bagi memastikan tiada penindasan berlaku ke atas kedua-dua pihak.
Yang Dipertua Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur,
Samsudin Mohamad Fauzi pula berkata, kenaikan harga itu adalah tidak wajar
kerana standard perkhidmatan ditawarkan oleh pembantu rumah masih tidak
memuaskan.
“Selain itu, ia juga dilihat menjejaskan pengguna yang
kebanyakannya merupakan golongan pertengahan,” katanya.

Malah katanya, kenaikan harga yang dicadangkan itu
berkemungkinan memberi risiko kepada majikan yang mengambil pembantu rumah
asing.