1869) UTUSAN 25/04/2014 – Proses cerai taklik perlu dikaji semula
25 Apr 2014
KUALA LUMPUR 24 April – Mahkamah Syariah digesa mengkaji semula proses permohonan cerai taklik bagi mengelakkan isteri yang ditinggalkan suami tanpa diberi nafkah terus dibiarkan dalam keadaan gantung tidak bertali.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya menerima lebih 100 aduan berkaitan permohonan cerai taklik sejak setahun lalu.
Menurut beliau, wanita-wanita berkenaan terpaksa menghadapi pelbagai kesulitan bagi mematuhi prosedur ditetapkan oleh mahkamah syariah.
Kami dimaklumkan, isteri yang ingin memohon cerai taklik perlu berusaha mencari suaminya terlebih dahulu dan mengiklankan permohonan tersebut dalam akhbar.
Prosedur itu menyebabkan proses permohonan cerai taklik mengambil masa yang panjang serta membebankan wanita terbabit kerana terpaksa mengeluarkan wang sendiri untuk kos pengiklanan dan mencari suaminya,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat PPIM di sini hari ini.
Sementara itu, aktivis PPIM, Sheikh Abdul Kareem S. Khadaied mendedahkan kes membabitkan Ruzana Othman, 56, yang telah ditinggalkan suaminya sejak 1998 selepas berkahwin selama tujuh tahun.
Jelas beliau, Ruzana memfailkan permohonan cerai taklik di mahkamah syariah pada 2012, namun sehingga kini kesnya masih belum selesai.
Undang-undang yang ada memang mencukupi cuma kita harap penguatkuasaannya dilaksanakan secara lebih berkesan,” ujarnya.
Sheikh Abdul Kareem turut mempersoalkan mengapa lafaz taklik yang diucapkan suami pada majlis pernikahan tidak diterima sebagai asas bagi menyokong permohonan cerai taklik oleh isteri.
Dalam pada itu, Ruzana berkata, usaha mencari suaminya yang didakwa menghilangkan diri sejak 1998 tidak membuahkan hasil.
“Tiada siapa yang mempunyai maklumat sama ada suami saya masih hidup atau telah meninggal dunia,” jelasnya.
Ruzana yang kini tidak bekerja dan mengalami masalah kesihatan juga berdepan kesukaran untuk memohon bantuan kebajikan masyarakat kerana dia dianggap masih bersuami.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140425/dn_24/Proses-cerai-taklik-perlu-dikaji-semula#ixzz2zrl4g3vV
© Utusan Melayu (M) Bhd
Post Views: 203