2065) BERITA HARIAN 24/07/2014 – Cadbury Jemput 3 Tokoh Agama – PPIM
24 Jul 2014
Shah Alam: Cadbury Confectionery Malaysia Sdn Bhd (Cadbury Malaysia), semalam, menjemput panel bebas yang terdiri daripada tiga tokoh agama bagi memantau prosedur operasi standard (SOP) serta kesucian produk keluaran syarikat itu.
Tokoh berkenaan ialah Penasihat Agama Islam Johor, Datuk Noh Gadut; bekas Penasihat Agama Islam Sultan Terengganu, Mohd Shukri Ali dan Presiden Kesatuan Ilmuan Islam, Dr Zaharuddin Abd Rahman, dijemput untuk membuat pemantauan susulan dakwaan coklat keluaran Cadbury Malaysia mengandungi DNA babi.
Ketua Hal Ehwal Korporat Cadbury Malaysia, Raja Zalina Raja Safran, berkata pengenalan panel bebas itu juga langkah syarikat berkenaan untuk meraih semula kepercayaan pengguna Islam di negara ini berikutan jualan yang terjejas teruk ekoran dakwaan terbabit.
Tak fikir tindakan
“Pemeriksaan terhadap kertas kerja perakuan halal yang diterima Cadbury Malaysia sudah disepakati oleh panel jemputan kami, selain negara seperti Brunei, Arab Saudi dan Singapura yang turut menerima bekalan dari negara kita,” katanya pada sidang media, di sini semalam.
Yang turut hadir, Pengerusi Halal Dalaman dan Pengurus Kilang Cadbury Malaysia, Yaccob Khan Abdul Rahman dan Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr Maamor Osman.
Raja Zalina berkata, syarikat tidak memikirkan tindakan undang-undang terhadap Kementerian Kesihatan yang membuat dakwaan itu, sebaliknya berusaha meraih semula kepercayaan pengguna Islam.
Sementara itu, Nooh mencadangkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengembangkan usaha mengambil panel bebas seperti dilakukan Cadbury Malaysia untuk memantau SOP masing-masing dan memastikan kesucian produk, selain menggesa jabatan itu menggubal akta baharu mengenai perincian mendapatkan pensijilan halal.
“Perincian mendapatkan pensijilan perlu lebih jelas dan seragam membabitkan semua produk halal di negara ini. Ini wajar kerana sudah banyak masalah membabitkan sesetengah produk yang menerima pensijilan halal JAKIM, tetapi didakwa mengandungi DNA babi,” katanya.
Post Views: 132