779) HARIAN METRO 15 JUN 2013-Along suruh cari mangsa
17 Jun 2013
Byline / Author:
Oleh Yusmizal Dolah Aling
Kuala Lumpur: Dapat
imbuhan selepas jerat kawan. Itu antara taktik terbaru digunakan ceti haram
atau along yang menawarkan komisen pada harga tertentu kepada peminjam yang
mendapatkan ‘mangsa’ baru dengan jumlah pinjaman serendah RM1,000.
Taktik itu dikesan
selepas seorang pensyarah berusia 54 tahun yang dibelenggu hutang along merujuk
kes berkenaan kepada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) kerana
diselubungi rasa bersalah dan menyesal kerana menjadikan dua rakannya sebagai
mangsa untuk mendapatkan habuan ditawarkan.
Kakitangan sebuah
institut pengajian tinggi awam yang mahu dikenali sebagai Maimunah itu berkata,
dia mula terfikir untuk menerima tawaran berkenaan beberapa minggu lalu apabila
diganggu along yang menuntut hutangnya berjumlah RM120,000 selepas mula
meminjam sejak 2008.
Katanya, sebagai
alternatif, ceti berkenaan memberikan cadangan kepadanya supaya memperkenalkan
beberapa rakan untuk meminjam dengan kadar komisen tertentu sebagai ganjaran
membantu mendapatkan ‘pelanggan’ baru.
Tanpa berfikir
panjang, saya terus mencari beberapa rakan dan dua daripada mereka bersetuju
untuk membuat pinjaman berjumlah RM2,000 setiap seorang.
Daripada jumlah itu,
saya diberikan komisen RM1,000 dan along berkenaan berjanji akan terus
memberikan imbuhan sekiranya lebih ramai peminjam baru diperkenalkan, katanya
ketika ditemui semasa membuat aduan kepada Pegawai Unit Tindakan Khas PPIM,
Yati Saharuddin di sini, semalam.
Maimunah berkata,
sebaik berbuat demikian, dia didatangi ahli keluarga rakannya itu yang tidak
berpuas hati apabila mendapat tahu pinjaman berkenaan diuruskannya menyebabkan
dia rasa menyesal kerana sanggup membabitkan orang lain semata-mata untuk
memperoleh kesenangan seperti dijanjikan.
Saya bukan saja
terpaksa menggunakan rakan-rakan, malah sampai satu tahap saya sanggup
berbohong kepada ibu sendiri dengan alasan saya akan ke tanah suci menunaikan
ibadat haji hanya kerana ingin melunaskan bayaran kepada ceti.
Kehidupan saya
sebagai ahli perniagaan sebelum ini menjadikan saya terlalu taksub mengejar
wang ringgit sehingga sanggup menggunakan apa saja demi mendapatkan wang.
Selepas berfikir, saya datang ke PPIM untuk ‘serah diri’ sebagai jalan terbaik.
Kini saya rasa
begitu menyesal kerana sejak terjebak dengan along, saya bukan saja hilang
fokus di tempat kerja, perniagaan pelaburan yang saya usahakan lebih 10 tahun
lalu juga mengalami kerugian, katanya.
Post Views: 183