Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
832) UTUSAN MALAYSIA 15/7/13-Rang Jaminan MSC Malaysia perlu dikaji semula
15 Jul 2013

KUALA LUMPUR 14
Julai – Beberapa badan bukan kerajaan (NGO) Islam di negara ini meminta
kerajaan mengkaji semula Rang Jaminan MSC Malaysia bagi membendung
penyalahgunaan media sosial yang semakin berleluasa.
Ketua Aktivis
Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata ada pihak
menyalah guna kebebasan bermaklumat yang dinikmati rakyat negara ini dan boleh
menjadi ‘racun’ kepada kemakmuran negara.
“Apa jua
perkara perlu ada limitasinya. Macam makanan juga, kalau dimakan banyak tanpa
kira hadnya, pasti akan jadi penyakit dan racun dalam badan,” katanya
kepada Bernama hari ini.
Beliau mengulas
tindakan Tan Jye Yee, 25, dan pasangannya Vivian Lee, 24, yang mempersenda
Ramadan dengan memuat naik gambar makanan yang menyentuh sensitiviti umat Islam
di negara ini di laman Facebook mereka.
Hari ini, satu lagi
akaun Facebook memuat naik status mempersenda Ramadan menampilkan iklan berbuka
puasa dengan babi panggang yang turut diletak logo halal.
Nadzim berkata, satu
mekanisme pemeriksaan perlu diwujud bagi menggantikan rang jaminan berkenaan
untuk melahirkan rakyat Malaysia yang lebih bertanggungjawab dalam menggunakan
maklumat di negara ini.
“Apa sahaja
akta yang boleh digunakan bagi penyalahgunaan maklumat ini tidak akan membantu
jika maklumat masih lagi boleh diakses dengan sewenang-wenangnya tanpa sebarang
sekatan.
“Apatah lagi dalam
keadaan negara yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum, seharusnya ada
satu undang-undang yang tidak memungkinkan rakyat negara ini boleh menyentuh
sensitiviti antara satu dengan lain, dengan apa jua cara sekalipun, termasuklah
menggunakan teknologi,” katanya.
Pendapat Nadzim
disokong oleh Pengerusi Biro Haluan Palestin Persatuan Haluan Malaysia, Dr.
Syed Halim Syed Hassan yang berkata, perlu ada satu tapisan maklumat walaupun
masyarakat negara ini bebas mengguna serta menyebarkannya.
“Memang diakui
maklumat melalui Internet adalah sangat banyak dan mudah disebar berbanding
melalui medium maklumat perdana seperti surat khabar, namun pihak
bertanggungjawab perlu ada mekanisme menyekat apa jua jenis maklumat yang boleh
mengganggu sensitiviti kaum negara ini,” katanya.
Mengulas tindakan
mempersenda Islam di laman sosial Facebook, Syed Halim berkata ia adalah usaha
pihak berfikiran dangkal yang ingin menjejaskan ibadah umat Islam.
Beliau berkata,
pihak yang berkelayakan seperti mufti atau ulama boleh membantu pengguna Islam
meredakan kemarahan mereka, terutama ketika berpuasa, semasa berdepan perkara
sedemikian.
Sementara itu,
Nadzim berkata, PPIM akan melancarkan satu blog sebagai medan perkongsian
berkaitan Islam, termasuk soal jawab berhubung kekeliruan dan salah anggapan
terhadap agama suci ini.
“Antara usaha
kita ambil ialah pendekatan teknologi bagi menangkis serangan yang dibangkitkan
bertujuan menjejaskan kedudukan agama Islam.
“Jika mereka
boleh gunakan teknologi sebagai senjata, maka kita perbetulkan semula dengan
cara berdakwah melalui teknologi juga,” katanya.
Beliau berkata, blog
yang bakal dilancar dalam masa terdekat itu akan mengumpul segala maklumat
sahih berkaitan Islam dan menerima soalan serta perbincangan dengan pengguna
berhubung agama berkenaan. – BERNAMA
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130715/dn_08/Rang-Jaminan-MSC-Malaysia-perlu- dikaji-semula#ixzz2Z72OdZzR© Utusan Melayu (M)
Bhd