833) MUKA HADAPAN/BERITA UTAMA BERITA HARIAN 15/7/13-SKMM panggil pasangan
15 Jul 2013
Byline / Author:
Oleh Nazura Ngah
Kuala Lumpur:
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah mengarahkan
pasangan yang mempersendakan bulan Ramadan dengan memuat naik gambar yang
menyentuh sensitiviti umat Islam dalam laman Facebook, memberi keterangan
berhubung perbuatan mereka.
Pengerusi SKMM,
Datuk Mohamed Sharil Tarmizi mengesahkan Alvin Tan dan Vivian Lee, telah
dipanggil untuk merakamkan kenyataan mereka dan membantu siasatan.
“Kami telah
memanggil pasangan itu. Mereka dijangka hadir di pejabat penguatkuasaan SKMM
esok (hari ini),” katanya dalam satu kenyataan kepada BERNAMA semalam.
Sensitivi umat islam
Pasangan itu
memaparkan gambar di laman Facebook kononnya mereka sedang menikmati makanan
tidak halal dengan keterangan gambar `Selamat berbuka puasa dengan Bak Kut
Teh… Wangi, enak dan menyelerakan!’
Dalam kes berasingan
di laman Facebook lain yang mempersenda bulan Ramadan dengan menyiarkan iklan
gambar babi panggang dengan cap logo halal, Mohamed Sharil, berkata pemilik
akaun itu bukan rakyat Malaysia dan tidak bermastautin di negara ini.
“Kita telah
melaporkan perkara ini kepada Facebook dan meminta mereka menyekat laman
berkenaan atau memadam akaun itu,” katanya.
Beliau juga meminta
pengguna Facebook tidak berkongsi paparan atau foto yang menyinggung perasaan
sesiapa untuk mengelakkan ia tersebar dan melukakan perasaan orang lain serta
melaporkannya terus kepada pengendali Facebook.
“Sebagai rakyat
Malaysia, marilah kita menghormati bulan Ramadan dan rakan-rakan kita yang
beragama Islam. Kita perlu sentiasa bertanggungjawab atas semua tindakan kita
di dalam talian serta lebih peka terhadap sensitiviti orang lain, terutama isu
agama,” katanya
Sementara itu, tokoh
agama dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendesak kerajaan mengenakan tindakan
tegas dengan menguatkuasakan undang-undang terhadap pihak yang menghina
kesucian agama Islam bagi memberi pengajaran pada masa depan.
Malah, mereka
menyarankan Alvin dan Vivian dilucutkan kerakyatan jika tindakan itu dilihat
berkesan dalam menangani isu toleransi agama dan kaum di negara ini.
Guna Akta Hasutan
Mufti Negeri
Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad meminta kerajaan menggunakan peruntukan
undang-undang termasuk mengikut Akta Hasutan bagi mengelak kejadian sama
berulang.
Katanya, sudah tiba
masanya kerajaan lebih bertegas dalam isu seumpama itu dan menjadi kewajipan
umat Islam mempertahankan maruah agama jika ada pihak cuba melakukan
penghinaan.
Bagaimanapun,
tindakan yang diambil perlu mengikut undang-undang serta tidak terburu-buru
hingga boleh mendatangkan kemudaratan kepada semua pihak.
“Jika ada Akta
Hasutan yang boleh digunakan, gunakanlah tetapi jika makin bertambah teruk dan
tidak menjadi pengajaran, kerajaan perlu tingkatkan penguatkuasaan dan
melucutkan kerakyatan menjadi langkah terakhir menangani isu ini,” katanya
kepada BH.
Mufti Kelantan,
Datuk Mohd Shukri Muhamad, berkata masyarakat perlu menghormati antara satu
sama lain dan tidak menghina atau mempersenda agama lain, sekali gus tidak
menghormati Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan Islam agama rasmi
negara.
“Saya mengharapkan
umat Islam mengambil pendekatan bijaksana dalam perkara sensitif. Jika ada
peruntukan undang-undang, kita ambil pendekatan mengikut lunas perundangan dan
tidak cuba menjejaskan imej Islam.
“Namun pada
masa sama, kerajaan perlu bertindak tegas supaya tiada lagi mana-mana pihak
berani bertindak biadab terhadap kesucian agama Islam,” katanya.
Sementara itu,
Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Maamor Osman
berkata tindakan pasangan itu jelas menggambarkan mereka tidak layak menjadi
rakyat Malaysia yang sepatutnya menghormati prinsip Rukun Negara dan hak serta
keistimewaan umat Islam di negara ini.
Post Views: 197