Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
1906) NIB 16/5/2014 HARIAN METRO – AHLI POLITIK ‘KOYAK’ RM20,000
16 May 2014

Headline: AHLI POLITIK ‘KOYAK’ RM20,000
Publication: HM
Date of publication: May 16, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 004
Byline / Author: Oleh Suraya Roslan; Yusmizal Dolah Aling
Kuala Lumpur: Guna Islam untuk perangkap mangsa. Itu taktik terbaru sindiket koyak dan menang yang terus licik beroperasi di negara ini di sebalik pelbagai usaha pihak berkuasa untuk membanterasnya.

Dalam dua kes terbaru dilaporkan kepada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) minggu lalu, seorang ahli politik kerugian RM20,000 manakala seorang wanita warga emas pula ditipu RM30,000 akibat sindiket koyak dan menang di dua lokasi berbeza di pinggir ibu kota.

Dalam kes membabitkan ahli politik bergelar Datuk itu, mangsa yang mahu dikenali sebagai Baharom, 65, berkata kejadian bermula dengan dia didekati seorang jurujual wanita bukan Islam di Bandar Baru Ampang, dekat sini.

Menurutnya, wanita berusia 20-an itu merayu-rayu supaya dia menyertai peraduan koyak dan menang yang kononnya menawarkan hadiah sebuah kereta mewah berharga RM140,000.

“Saya memang tak melayan dan berminat untuk mengambil bahagian dalam peraduan itu, tapi dia memberikan bermacam alasan, termasuk berminat mendekati ajaran Islam.

“Selepas itu, dia bertanya sama ada saya mempunyai anak lelaki untuk dijadikan teman lelakinya bagi membolehkan dia belajar lebih mendalam mengenai agama Islam.

“Melihat kesungguhannya itu, saya mula lembut hati dan bersetuju menyertai peraduan koyak dan menang yang dia tawarkan bagi melayakkan saya memenangi hadiah sebuah kereta mewah,” katanya ketika membuat laporan kepada sekretariat PPIM awal minggu lalu.

Baharom berkata, perempuan itu memintanya pergi ke sebuah pejabat di Jalan Ipoh, di sini untuk berjumpa dengan pengurus jualan yang akan menunjukkan dokumen ‘bertuah’ yang bermaksud dia berjaya menang kereta mewah itu.

“Sepanjang perjalanan ke situ, dia banyak bertanya mengenai Islam dan memberitahu ingin belajar mengenai Islam dengan lebih mendalam dengan saya selepas setuju koyak kad peraduan itu.

“Sebaik sampai di pejabat terbabit, saya diminta untuk meneka cabutan menerusi skrin komputer dan tertera saya memenangi sebidang tikar yang didakwa berharga SG$50,000 (kira-kira RM130,000) bukan kereta mewah,” katanya.

Namun, wanita itu memberitahu dia masih layak mendapat hadiah kereta dengan membayar sebanyak RM20,000, menyebabkan Baharom tanpa berfikir panjang pergi ke bank berdekatan untuk mengeluarkan wang dan menyerahkannya kepada wanita itu dan pengurusnya.

Baharom berkata, selepas wang berkenaan diserahkan, wanita berkenaan tidak menjawab panggilan telefon serta SMS menyebabkan dia merasa ditipu oleh sindiket terbabit dan melaporkan perkara itu kepada Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan.

Mangsa kedua yang mahu dikenali sebagai Aminah, 60-an pula didatangi dua wanita ketika berada di sebuah klinik kesihatan di sini dan mereka memberitahu, mencari warga emas terpilih untuk diberi hadiah.

“Mereka berdua kemudian menaiki kereta saya dan mengarahkan pergi ke pejabat di Kepong untuk mengambil hadiah daripada lelaki dipanggil Haji Nordin,” katanya kepada Harian Metro.

Aminah berkata, dia tidak mengesyaki apa-apa yang buruk berikutan melihat keadaan pejabat yang penuh dengan ayat suci al-Quran, namun mula curiga apabila seorang daripada wanita terbabit tiba-tiba mengoyakkan peraduan koyak dan menang di hadapannya.

“Saya mula sedar yang saya mungkin ditipu kerana kerana tiga tahun lalu saya pernah mengalami peristiwa hampir sama sebelum ditipu hingga kerugian RM24,000.

“Saya kemudian diberitahu memenangi jongkong emas berharga RM30,000, tetapi dengan syarat perlu memberikan wang terlebih dulu untuk dicatat nombor siri,” katanya.

Biarpun sedar ditipu, namun seperti dipukau Aminah hanya menurut arahan dua wanita itu supaya pergi ke tiga bank dengan menaiki keretanya dan mengeluarkan wang simpanan Tabung Haji yang keseluruhan berjumlah RM30,000.

“Selepas itu, saya dibawa semula ke pejabat koyak dan menang sebelum diberikan borang untuk di tandatangan. Itulah kali terakhir saya berjumpa mereka sebelum mereka menghilangkan diri,” katanya.