1183) UTUSAN MALAYSIA 4/3/2014 APABILA EPISOD LAMA DIDENDANG
05 Mar 2014
BARU-baru ini kita dihidangkan dengan tragedi besar di muka
hadapan Utusan Malaysia membabitkan tiga kemalangan yang meragut 15 nyawa
sekali gus.
Tidak lama dahulu, negara dikejutkan dengan kemalangan ngeri
yang meragut hampir 40 nyawa di Jalan Genting Highlands. Malahan sebelum dan
sebelumnya banyak kemalangan jalan raya yang sentiasa dipaparkan dan dihebohkan
seperti hebahan semasa dan bermusim terutama menjelang musim perayaan.
Sebenarnya, perkara di atas tidak sepatutnya berlaku
berulang kali seolah-olah putaran cerita lama yang diberikan nafas baharu.
Mungkin tidak lama lagi jika musim hujan melanda negara ini,
akan disajikan pula bencana tanah runtuh dari kawasan yang sama dan apabila
musim kemarau, kita pula akan menghadapi jerebu dalam suasana serupa atau lebih
buruk daripada sebelumnya.
Kini musim kemarau, maka kebakaran dan seterusnya jerebu
berlaku dan yang sedang perit dihadapi adalah catuan bekalan air. Masing-masing
saling tuding-menuding dan saling membenarkan kenyataan sendiri. Di satu pihak
pengguna diberi jaminan bekalan air mencukupi. Maka pengguna menarik nafas lega
sebab kononnya bekalan air tidak akan terjejas hatta diberi jaminan boleh
bertahan sehingga 75 hari.
Di pihak lain pula dikeluarkan jadual catuan bekalan air
yang bukan sahaja berlaku selang sehari tetapi berlanjutan kepada dua hari pada
satu ketika. Cerita sandiwara apa yang sedang dimainkan oleh semua pihak
sekarang?
Pepatah ada mengatakan, sekiranya kali pertama kita
terperosok ke dalam lubang mungkin sebab kita alpa. Terperosok kali kedua,
mungkin kita lupa tetapi apabila terperosok di lubang sama berkali-kali
tentunya ia sepatutnya tidak boleh berlaku lagi.
Apa tidaknya, saban masa perkara yang sama berulang. Dalam
kes kemalangan cuma mungkin angka korbannya sahaja yang berbeza. Kemudian
hebohlah pelbagai pihak membuat cadangan, perancangan dan tindakan-tindakan
yang kononnya boleh mencegahnya daripada berulang.
Kemudian masa berlalu, senyap seketika dan seolah-olah semua
pihak sudahpun melaksanakan semua program, kajian dan tindakan yang perlu.
Namun apabila tragedi tetap berlaku maka diketahui umum apa yang dirancang
tidak dilaksanakan dan apa yang dicanang sebenarnya hanya terperuk di pejabat
semata-mata.
Mungkin sebelum ini tiada badan penyelaras seperti
Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD). Tetapi dengan tertubuhnya SPAD
nampaknya ia tidak juga dapat diatasi atau dikurangkan.
Tentunya masyarakat pengguna tertanya-tanya apakah
sebenarnya yang berlaku dan di mana salah atau silapnya sehingga ia semacam
tiada noktah. Inilah yang kita katakan sebagai satu budaya baru agensi
pelaksana negara kita yang kononnya mahu mencapai status berkelas dunia. Budaya
sudah terhantuk pun belum lagi terngadah.
Amat jelas sekali dilihat di jalan raya di seluruh negara
ketika ini kenderaan komersial dan bas awam, teksi dan limosin dipandu umpama
di litar lumba. Mereka berlumba sesama sendiri dan dengan garangnya membunyikan
hon, menyalakan lampu dan menghimpit kenderaan persendirian yang bergerak
mengikut kelajuan sederhana di lorong-lorong yang ditetapkan.
Tidak cukup dengan itu, bas ekspres dan lori menjadikan
lorong paling kanan tempat mereka bersantai sehingga berjam lamanya tanpa
mempedulikan puluhan kenderaan di belakang yang terpaksa mengekori hingga
menjadikan pemanduan di lebuh raya umpama jalan kampung yang bergerak perlahan
dan kadang-kala jammed pula.
Hairan, pelik dan ajaib pemandu kenderaan komersial ini
seperti kebal daripada tindakan kerana kalau pemandu biasa tentu sudah
disenaraihitamkan atas pelbagai kesalahan yang dilakukan. Malah amat jarang
kita melihat kenderaan terbabit ditahan oleh pihak berkuasa berbanding pengguna
biasa sehingga menimbulkan persepsi negatif seolah-olah ada jaringan kerjasama
dua hala antara mereka demi kepentingan komersial dan peribadi.
Para pemandu generasi muda pula lumrah memandu di lorong
ikut suka dan tidak akan berubah arah meskipun kita memberikan isyarat untuk
memotong kenderaan mereka. Lebih menyakitkan hati dengan memegang telefon,
merokok atau sambil makan dan bergurau senda seolah-olah jalan raya milik mereka.
Mereka ini tidak faham langsung prosedur penggunaan lorong di lebuh raya kerana
tidak termasuk di dalam kurikulum sekolah memandu sewaktu mengambil lesen
dahulu.
Tentunya sikap ini mengundang rasa marah dan tidak selesa
kepada orang lain. Lebih buruk lagi ia boleh menimbulkan pergaduhan dan
kadang-kala mengakibatkan kemalangan apabila masing-masing tidak mahu mengalah.
Justeru dalam pelaksanaan proses penambahbaikan, soal
pencegahan dan pemulihan oleh pihak berwajib juga perlu diberi perhatian. Sesuatu
yang amat serius perlu dilakukan terhadap sistem penyampaian sedia ada kerana
ternyata telah gagal.
Kalau hari-hari pengguna terpaksa menadah air, menunggu
bekalan atau terpaksa berikhtiar membeli air botol untuk kegunaan domestik maka
telah tiba masanya mereka bertindak supaya pihak pembekal dan berwajib beroleh
pengajaran berguna bagi memperbaiki perkhidmatan.
Adalah tidak keterlaluan jika para pengguna mewujudkan
tribunal bagi menuntut hak mereka dan meminta pihak pembekal membayar semula
sekurang-kurangnya rebat dan gantirugi kesusahan yang terpaksa ditanggung
selama catuan air dilaksanakan.
Ini kerana sewaktu senang, pembekal tidak pernah mahu
berkongsi kesenangan mereka dengan pengguna.
Untuk kes kemalangan jalan raya juga tidak boleh dipandang
ringan. Agensi pelaksana seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), polis
trafik, Lembaga Lebuh Raya, SPAD dan Majlis Keselamatan Jalan Raya serta
Jabatan Kerja Raya perlu dilihat mampu berinteraksi dengan satu strategi yang
lebih ampuh seperti Strategi Lautan Biru Kebangsaan agar permasahan dapat
diselesaikan secara menyeluruh dan tidak hanya bertumpu kepada satu isu pada
satu masa sahaja.
Mungkin pengguna boleh meminta pihak berkaitan memansuhkan
cukai jalan dan menurunkan tol, premium insurans dan sebagainya bagi memastikan
kepentingan mereka benar-benar dijaga dengan penuh dedikasi dan komited.
Tragedi di atas sebenarnya lebih terkesan kepada para
pengguna. Mungkin pembuat dasar dan pemilik syarikat pembekal tidak akan acuh
dan peduli sekiranya para pengguna tidak bangun menuntut hak mereka.
Adalah diharapkan agar semua yang terlibat mengambil iktibar
dan mula bergerak memperbaiki apa sahaja yang perlu bagi memastikan kejadian
sama tidak berulang lagi. Ini kerana semua yang berlaku bukan sahaja merugikan
negara dari segi ekonomi tetapi memberikan petunjuk dan gambaran buruk kepada
masyarakat luar negara mengenai kekurangan perhatian kita terhadap soal
kepenggunaan yang saban masa selalu menjadi mangsa keadaan.
Masyarakat pengguna ingin bukti bahawa mereka didahulukan
dan semua perkhidmatan mestilah ditransformasi penambahbaikannya. Sekiranya
sistem sedia ada tidak berfungsi, tukar sahaja yang baru, kiranya jentera tidak
baik cari yang baru. Kena tukar sebelum terlambat takut nanti umpama dendangan
lagu Shidee “sayang semuanya, sudah terlambat”.
DR. AHMAD ZAKI ISMAIL ialah Penasihat Persatuan Pengguna
Islam Malaysia.
Post Views: 165