1146) UTUSAN MALAYSIA 11/2/2014 TERMA PERJANJIAN TOL AKAN DITAMBAH BAIK
11 Feb 2014
KUALA LUMPUR 10 Feb. – Kajian konsesi lebuh raya
akan melibatkan beberapa kemungkinan termasuk penstrukturan semula kadar tol
dan tempoh konsesi serta penambahbaikan terma-terma perjanjian, kata Menteri
Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof.
Beliau berkata, Kementerian Kerja Raya bersama
agensi-agensi kerajaan Pusat akan mengadakan perjumpaan dengan semua syarikat
konsesi lebuh raya yang sedang beroperasi dalam masa terdekat bagi
membincangkan perkara tersebut.
Katanya, kajian semula konsesi serta rundingan
dengan pemegang konsesi dijangka mengambil masa lebih kurang enam bulan untuk
disiapkan.
“Kajian ini akan dijalankan atas landasan
kerjasama dan rundingan dengan syarikat-syarikat konsesi supaya hasilnya
mengambil kira suara pengguna, implikasi kepada kerajaan serta peminjam dan
pelabur,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Selepas mempengerusikan mesyuarat pertama
Jawatankuasa Khas Kabinet Menangani Kos Sara Hidup baru-baru ini, Timbalan
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kadar tol di kesemua 29
lebuh raya tidak akan dinaikkan sehingga hujung tahun ini untuk tidak
membebankan rakyat.
Beliau turut mengumumkan bahawa jawatankuasa
tersebut meminta Kementerian Kerja Raya menjalankan kajian menyeluruh berhubung
konsesi supaya kadar tol tidak dinaikkan pada masa hadapan.
Sementara itu, mengulas cadangan Persatuan Pengguna
Islam Malaysia (PPIM) supaya kerajaan menghapuskan kadar tol di beberapa lebuh
raya di negara ini , Fadillah berkata, cadangan pemansuhan kutipan tol di
beberapa plaza tol pernah dikaji sebelum ini.
“Cadangan pemansuhan ini perlu dikaji
terutamanya dari segi implikasinya dalam membantu menyuraikan trafik di sesuatu
kawasan.
“Ini adalah bagi memastikan keselesaan dan
keselamatan pengguna lebuh raya berkenaan tidak terjejas,” katanya.
Post Views: 144