Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
789) BERITA HARIAN 22/6/13- ‘Batalkan saja Blackout 505’
25 Jun 2013

Byline / Author: Oleh Rashiqah Ilmi Abd Rahim; Mohd
Nasaruddin Parzi; Syafik Aznan
Kuala Lumpur: Pelbagai pihak mengingatkan pakatan
pembangkang supaya membatalkan Perhimpunan Blackout 505 hari ini kerana ia
boleh mengancam dan memperjudikan keselamatan rakyat dan negara.
Mereka juga menggesa orang ramai tidak menyertai
himpunan di Padang Merbok itu berikutan kegagalan penganjur mendapat kebenaran
Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Presiden Kelab Warisan Malaysia (KERIS), Mohd
Khairul Azam Abdul Aziz, berkata alasan hak kebebasan berhimpun yang dicanang
pemimpin pembangkang bagi mengajak rakyat berkumpul sama sekali tidak masuk
akal.
Katanya, walaupun hak itu termaktub dalam
perlembagaan, ia masih tertakluk kepada proses undang-undang seperti digaris di
bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 (APA).
Dalam kes Blackout 505 ini, mereka cuba
memanipulasikan undang-undang. Walaupun penganjur sudah hantar notis 10 hari
kepada polis, ia tidak bermaksud perhimpunan itu dibenarkan. Kebenaran DBKL
selain masyarakat sekeliling juga diperlukan.
Tukar ke lokasi lain
DBKL tidak luluskan untuk berhimpun di Padang
Merbok, maka penganjur harus batalkan atau menukar ke lokasi lain seperti
stadium, katanya yang menyifatkan perhimpunan itu hanya propaganda Ketua
Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menutup kelemahannya.
Beliau berkata, pembangkang seharusnya menunggu
keputusan petisyen Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang difailkan di mahkamah.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia
(PPIM), Datuk Nadzim Johan pula berkata, hanya tindakan tegas oleh polis
diperlukan kini bagi memastikan perhimpunan berkenaan dibatalkan selain
menasihatkan penganjur akur dengan keputusan DBKL
Kalau batalkan terus (perhimpunan itu) memang
sangat elok. Tidak ada faedahnya… hanya menyusah dan merugikan orang ramai
yang terpaksa bersesak di jalan raya.
Matlamat dan tujuan perhimpunan itu juga tidak kena
pada tempatnya. Kalau betul mahu membantah keputusan PRU-13, tempatnya di
mahkamah, bukan padang atau jalan raya, katanya.
Rakyat perlu sedar
Katanya, rakyat perlu sedar tujuan penganjurannya
itu hanya untuk memburukkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan kerajaan, bukan
mahu mencari apa-apa penyelesaian.
Orang sudah kalah (pilihan raya), dia akan buat apa
saja untuk burukkan orang lain. Ini sifat orang tidak bertamadun dan wajar
dicemuh, katanya diminta mengulas kedegilan penganjur tetap mahu mengadakan
perhimpunan di lokasi itu.
Presiden Persatuan Pengusaha Teksi dan Kereta Sewa
Kuala Lumpur (KL) Selangor, Datuk Aslah Abdullah, turut mengingatkan penganjur
supaya mendengar rintihan warga kota khususnya pemandu teksi.
Janganlah lagi mengheret rakyat berhimpun di ibu
negara. bukan saja tempatnya tidak sesuai, malah akan menyusahkan orang ramai.
(Pemandu) teksi pun susah cari makan, katanya.
Turut menyatakan bantahan sebelum ini, Presiden
Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS), Mohd Ridzuan
Abdullah, yang menyifatkan perhimpunan itu akan merugikan banyak pihak,
terutama peniaga dan penjaja kecil.