764) BERITA UTUSAN MALAYSIA 11 JUN 2013 : HINA NABI-NGO GESA SIASAT RED BEAN ARMY
11 Jun 2013
15 NGO desak siasat RBA
Oleh NORAZRIN MARZUKI
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 10 Jun – Sebanyak 15 pertubuhan bukan
kerajaan (NGO) membuat laporan polis bagi meminta pasukan itu menyiasat
sekiranya perbuatan menghina junjungan besar, Nabi Muhammad SAW di dalam laman
sosial Facebook baru-baru ini dilakukan oleh Red Bean Army (RBA).
Laporan itu dibuat oleh NGO Islam dan Melayu
terbabit di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada pukul 11 pagi ini.
Antara NGO itu adalah Kelab Wartawan Muda Malaysia
(KWMM), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Pertubuhan Kebajikan dan
Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida), Sekretariat NGO Negeri Selangor, Pertubuhan
Seni Silat Kalam dan Persatuan Permuafakatan Wangsa Malaysia.
Presiden KWMM, Dzulkarnain Taib memberitahu,
dakwaan berhubung penglibatan RBA yang dipercayai ada kaitan dengan parti
pembangkang dalam isu menghina Nabi Muhammad SAW disiarkan oleh beberapa blog
tempatan kelmarin.
“Serangan demi serangan ke atas umat Islam,
raja Melayu serta Perlembagaan negara kini sudah melampaui batas dan norma
sebagai sebuah negara yang mempunyai rakyat berbilang kaum.
“Jelas perbuatan menghina ini bukan sesuatu
yang tidak disengajakan atau di luar pengetahuan pihak yang berkepentingan
politik tetapi dirancang untuk menghuru-harakan keamanan negara.
“Jika dilihat beberapa siri serangan siber
sebelum ini, kami percaya perbuatan ini dilakukan oleh RBA selaras dengan
matlamat kewujudan pasukan itu yang mahu melihat negara kita huru-hara,”
katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Pada 8 Jun lalu, blog Just Read mendedahkan seorang
pengguna laman sosial Facebook dikesan menghina Islam, selain membuat
penghinaan melampau terhadap Nabi Muhammad SAW.
Perbuatan biadab oleh pengguna Facebook yang
menggunakan nama Programmer Calvin Gani didedahkan blog tersebut di dalam satu
entrinya bertarikh 5 Jun lalu.
Sementara itu, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim
Johan menegaskan, tiba masanya Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta pihak
berkuasa terlibat mengambil langkah drastik dengan menangkap individu yang
terlibat memandangkan kesabaran orang Melayu dan umat Islam kini sudah sampai hadnya.
“Amaran atau nasihat sudah tidak memberi
apa-apa makna lagi ketika ini kerana mereka perlu segera ditangkap dan tidak
dilepaskan dengan sewenang-wenangnya.
“Jika pihak berkuasa melambat-lambatkan
penguatkuasaan, saya bimbang orang ramai akan mula mengambil tindakan sendiri
atau dalam erti kata lain, bergaduh sesama mereka,” katanya.
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130611/dn_08/15-NGO-desak-siasat-RBA#ixzz2VsUXftkN
© Utusan Melayu (M) Bhd
Post Views: 205