Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendapati semakin ramai pengguna yang terpengaruh dengan trend pengambilan makanan tambahan.
Walaupun kesedaran pengguna tentang pentingnya makanan sihat dan seimbang, ramai juga yang tidak sedar pengambilan makanan tambahan yang tidak betul boleh memudaratkan.
Antara trend makanan tambahan yang laris di pasaran kini adalah produk kurus, produk kesihatan dalaman wanita, produk kesihatan lelaki, dan produk menambahkan prestasi minda.
Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan@Toqqi amat bimbang dengan trend terkini terutama apabila kandungan di dalam produk-produk tersebut adalah berasaskan bahan kimia atau bahan asing termasuk bahan terlarang.
PPIM dengan kerjasama syarikat pengeluar produk herba tradisional, Dimaz mahu pengguna mempertimbangkan untuk mengamalkan pengambilan produk herba yang semula jadi.
Keajaiban hasil amalan mengambil produk herba semula jadi sudah lama diperkatakan dan diketahui umum.
Malah, herba asli sudah digunakan oleh manusia ribuan tahun sebelum wujudnya perubatan moden, makmal dan kilang pengeluaran.
PPIM bersama Dimaz mahu memperluaskan lagi perniagaan berasaskan herba dan mengembalikan amalan pengambilan produk herba asli bebas kimia dan bahan terlarang.
Sehubungan itu, satu Majlis Perasmian Kolaborasi Usahawan Perintis Dimaz telah diadakan di Menara Arina Uniti Kuala Lumpur. Majlis dirasmikan oleh Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan@toqqi.